Isnin, 10 November 2014

Isu SIS: Tindakan Khalid, Mujahid dan Hanipa timbulkan syak wasangka kepada PAS

Oleh Syed Mu'az Syed Putra
Post Pic

 
 
KLANG: Tindakan tiga ahli Parlimen daripada PAS mempertahankan Sisters in Islam (SIS) secara terbuka bukan sahaja mencemarkan institusi agama malahan menimbulkan syak wasangka yang tidak baik kepada parti berteraskan Islam itu.
 
Tegas Pengerusi Lajnah Dakwah PAS Terengganu Azman Shapawi Abdul Rani, tiga wakil rakyat itu tidak sepatutnya mempertikaikan fatwa Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) berhubung fahaman liberalisme serta pluralisme.
 
Ini kerana jelas beliau, perbuatan tersebut akan mewujudkan kekeliruan dalam kalangan umat Islam di negara ini memandangkan SIS yang dianggotai sekumpulan wanita profesional dilihat membawa aliran yang bercanggah dengan prinsip agama.
 
"Tiga orang ini saya pun taklah rapat sangat tapi baca dalam akhbar kadang-kadang ada beberapa pandangan yang agak kontra dengan kepimpinan yang ada sekarang termasuk yang terbaru dalam isu SIS.
 
"Di mana beliau seolah-olah macam cenderung kepada SIS, kemudian mengkritik JAIS dan MAIS macam-macam yang melibatkan perkara agama.
 
"Kami daripada PAS merasakan tidak sepatutnya tiga orang ini menyatakan sokongan terbuka kepada SIS dalam keadaan umat Islam mengetahui SIS ini adalah satu kumpulan yang mempersenda dan memperlekehkan Islam dalam banyak perkara," katanya dalam temubual eklusif bersama Antarapos.
 
Ketiga-tiga mereka ialah Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Sa­mad, Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa (Parit Buntar) dan Mohamed Hanipa Maidin (Sepang).
 
Pada Selasa lalu, Khalid, Mujahid dan Mohamed Hanipa mempertikaikan keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor pada Julai lalu terhadap SIS dan mana-mana individu, pertubuhan atau institusi yang berpegang kepada fahaman liberalisme dan pluralisme agama adalah sesat dan menyeleweng dari­pada ajaran Islam.
 
Berikutan itu, SIS memfailkan semakan kehakiman di mahkamah pada 31 Oktober lalu dan menamakan Jawatankuasa Fatwa Selangor, MAIS dan kerajaan negeri sebagai responden.
 
Fatwa Selangor pada Julai 2014 menggazetkan SIS dan mana-mana individu, pertubuhan atau institusi yang berpegang kepada fahaman liberalisme dan pluralisme agama sebagai sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.
 
Selain itu, mana-mana terbitan yang berunsur pemikiran fahaman itu juga hendaklah diharamkan dan boleh dirampas.
 
Selain itu, beliau mengingatkan ahli serta kepimpinan PAS agar berhati-hati dan pada masa sama mengambil sikap untuk menjarakkan diri dengan SIS.
 
"Ini boleh menimbulkan satu syak wasangka dan juga fitnah juga kepada PAS itu sendiri," katanya.
 
Bekas Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat ini menambah barisan kepimpinan parti tidak sewajarnya campurtangan dalam perkara-perkara yang sensitif kepada rakyat terutamanya dari aspek agama dan kaum.
 
Kata beliau lagi, PAS merupakan parti yang menolak SIS kerana aliran dan pandangan yang dibawa kumpulan itu boleh mengelirukan masyarakat dan boleh menggugat akidah umat Islam.
 
Untuk rekod, pada 7 Jun 2009, dalam Muktamar PAS 2009 ke-55 di Stadium Malawati Shah Alam, usul yang dibawa PAS Shah Alam diterima tanpa bahas iaitu mendesak Majlis Fatwa Kebangsaan membuat penyelidikan ke atas SIS yang membawa aliran Islam liberal. 
 
Usul itu juga mencadangkan agar Majlis Fatwa Kebangsaan mengharamkan SIS sekiranya terbukti bertentangan dengan syariat Islam serta membuat program pemulihan ke atas ahli-ahlinya.
 
Gesaan PAS itu disokong Mutfi Perak Tan Seri Harussani Zakaria juga anggota Majlis Fatwa Kebangsaan selain turut menggesa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menyiasat kenyataan ganjil SIS. 
 
Antara kenyataan itu menurut Harussani berhubung isu poligami dan pembahagian harta pusaka yang membelakangkan ayat al-Quran.

Tiada ulasan: