Peguam terkenal, Shafee Abdullah yang dilantik khusus oleh Jabatan Peguam Negara bagi menjalankan tugas pendakwaan bagi rayuan kes liwat melibatkan Anwar Ibrahim di Mahkamah Persekutuan telah pun menamatkan pusingan pertama pembentangan hujah-hujahnya petang semalam.
Sebelum itu, pihak pembela sudah pun mengemukakan hujah pembelaannya dalam usaha memastikan sabitan lima tahun penjara keatas Ketua Pembangkang, digugurkan.
Berikutan kedua-duanya sudah menamatkan pusingan pertama masing-masing, pihak pembela yang diketuai oleh Gopal Sri Ram akan membalas dan cuba mematahkan hujah-hujah pendakwa itu di pusingan akhir pada hari Khamis nanti. Memandangkan seramai empat peguam Anwar dijangka tampil berhujah mengikut skop masing-masing, adalah dirasakan ia akan mengambil masa sehari suntuk pada Khamis itu.
Selepas itu, dijangka pada Jumaat pagi, barulah pihak pendakwa sekali lagi tampil mempertahankan hujah pendakwaan untuk kekal mensabitkan Anwar atas dakwaan liwat sebelum lima hakim membuat keputusannya.
Sama ada keputusan akan dibuat sebaik saja pihak pendakwa dan pembela menamatkan tugas masing-masing, ia bergantung kepada lima hakim berkenaan menentukannya. Andainya fakta-fakta kes sudah diteliti sepenuhnya, tidak mustahil keputusan akan diketahui menjelang petang Jumaat nanti.
Tetapi sekiranya selepas tamat hujah kedua-duanya dan hakim memerlukan lebih masa untuk menelitinya, keputusan kes rayuan ini dijangka hanya akan diketahui dua atau tiga minggu selepas itu.
Dalam tempoh menunggu keputusan itu, pihak yang mengharap dan berdoa agar Anwar dibebaskan dan dapat meneruskan perjuangan politiknya, dapatlah terus beristiqamah dan begitu juga pihak yang suka Ahli Parlimen Permatang Pauh itu dipenjarakan, teruslah dengan keinginan itu.
Tiada sesiapa yang mampu mengubah pendirian dan keyakinan seseorang kerana masing-masing ada matlamat dan tujuan yang berbeza.
Di hari penutup hujah pusingan pertama Shafee ini, walaupun banyak hujah, keterangan dan fakta yang cuba disampaikannya, bukan saja untuk mengekalkan sabitan bersalah yang dijatuhkan oleh Mahkamah Rayuan sebelum ini tetapi juga dipercayai untuk menambah lagi tempoh penjara kepada Anwar, dua isu yang dihujahkan oleh pihak pendakwa lebih menarik perhatian serta menjadi perbualan ramai.
Pertamanya, menyenai DNA pihak ketiga yang turut ditemui dalam rektum Saiful. Jika semalam, Shafee berkata, DNA ketiga pada seluar dalam Saiful boleh jadi datangnya daripada tempat duduk tandas yang yang digunakannya sebelum itu, hari ini pula beliau berkata, DNA ketiga itu mungkin kepunyaan doktor daripada Pusrawi yang mula-mula merawat Saiful iaitu Dr Osman Abdul Hamid.
Beliau mengandaikan, DNA daripada Dr. Osman mungkin melekat secara tidak sengaja kerana ketika melakukan rawatan, tiada sarung tangan dan protoskop yang tidak diseterilkan pula telah digunakannya.
Sesiapa pun yang mendengar hujah ini pastinya tidak dapat mengelakkan daripada mengatakannya seperti lawak jenaka semata-mata. Ia seperti hujah tangkap muat dan ingin menunjukkan kebenciannya kepada Dr. Osman yang sebelum ini menyatakan tiada penembusan pada dubur Saiful ketika mula-mula memeriksanya.
Sebab itu, sementara pihak pembela dijangka akan mematahkan hujah tersebut dengan fakta yang kebih kukuh pada Isnin nanti, Anwar ketika selesai mahkamah bersidang hanya mengulasnya dengan berkata, "jika DNA ketiga itu dipercayai daripada Dr. Osman, kenapa tidak diambil ujian DNA daripadanya."
Menutup hujahnya mengenai kelewatan Saiful membuat laporan polis iaitu dua hari selepas mendakwa diliwat pula, Shafee berkata, ia adalah disebabkan tiada sesiapa yang mengambil serius terhadap aduan yang dibuatnya sebelum itu.
Adalah menjadi fakta dalam mahkamah sebelum ini bahawa sebelum membuat laporan polis, Saiful didapati telah menemui Najib yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri dan seorang pegawai kanan polis yang dikenali sebagai Mohd Rodwan Mohd Yusof. Saiful juga didapati menghubungi Ketua Polis Negara, Musa Hassan melalui panggilan telefon.
Shafee berhujah bahawa pegawai polis dan pegawai kerajaan peringkat atasan yang ditemui Saiful telah tidak bertindak terhadap aduan yang dibuatnya dan itu mungkin punca mengapa Saiful menunggu sehingga dua hari sebelum membuat laporan polis.
Sekali lagi, hujah ini benar-benar lawak jenaka. Apakah perlunya seseorang meminta sokongan daripada segala macam jenis orang sebelum mahu membuat laporan polis?
Daripada manakah pula aksesnya diperolehi untuk bertemu Najib dan Mohd Rodwan serta menghubungi Musa Hasan itu?
Bukankah sesiapa saja bebas boleh pergi ke mana-mana balai polis untuk membuat laporan?
Berbanding banyak keraguan dan kekeliruan yang berjaya ditimbulkan oleh pihak pembela pada pusingan pertama dan kemudian sudah dibalas oleh Shafee tetapi bukan saja dengan hujah mirip kuliah politik dan kadangkala membuatkan sesiapa turut ketawa, keyakinan untuk melihat Anwar diberi keadilan yang sewajarnya dan dibebaskan, tetap tidak berubah dan cerah.
Yakin dan percayalah, jika rakyat biasa pun ramai yang sekadar ketawa dengan hujah pendakwa, tentulah tidak mungkin hakim yang arif lagi bijaksana mahu mengambil kiranya sebagai fakta. - DETIK DAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan