Jumaat, 14 November 2014

Forum ’1MDB: Negara Berhutang? Rafizi – Mahathir berkongsi pentas

AMIRUL AZHAN


KUALA LUMPUR  : Isu 1Malaysia Development Berhad(1MDB) bakal menyaksikan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bakal berkongsi pentas dengan Setiausaha Agung KEADILAN, Rafizi Ramli.

Forum anjuran National Oversight and Whistleblowers (NOW) akan diadakan pada 19 November ini.

IMG_6587Menurut Pengarah NOW, Akmal Nasir satu surat jemputan rasmi telah dihantar kepada kesemua ahli-ahli panel untuk mendapatkan maklum balas segera.

Katanya, forum ini terbuka kepada orang ramai yang akan diadakan di The Club@Bukit Utama, Petaling Jaya pada jam 8.30 malam.

Ini rentetan pendedahan dokumen-dokumen berkaitan dan percanggahan kenyataan daripada pihak Pakatan Rakyat dan kerajaan mengenai isu 1MDB.

“NOW telah mengambil inisiatif untuk menganjurkan satu forum untuk mendapatkan penjelasan secara terbuka bagi rakyat memahami isu-isu sebenar yang membelenggu 1MDB.

“Forum yang bertajuk ’1MDB: Negara Berhutang?’ ini akan dihadiri oleh panel-panel yang telah banyak mempersoalkan atau membincangkan isu 1MDB secara terbuka sebelum ini,” kata Akmal.

Sebelum ini, satu rencana yang diterbitkan oleh akhbar kewangan The Edge telah melaporkan bahawa hutang 1MDB berjumlah RM36 bilion pada tahun kewangan berakhir 31 Mac 2013 bakal meningkat kepada RM40 bilion bagi tahun 2014.

Antara ahli-ahli panel yang dijemput ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Mohd Hazem Rahman dan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua.

“Jika boleh saya mengharapkan ahli panel dapat hadir ataupun paling tidak untuk menghantar wakil ke forum ini,” ujarnya.

Tiada ulasan: