Selasa, 25 November 2014

Bilakah Malaysia mahu wujudkan polis khas syariah?

SALMIYAH HARUN


KUALA LUMPUR: Sudah tiba masanya Polis Di Raja Malaysia (PDRM) mempunyai unit khas polis syariah khasnya untuk orang Islam, demikian menurut Ahli Parlimen Kota Bharu Datuk Takiyuddin Hassan.

Bercakap dalam soalan tambahannya, Takiyuddin berkata cadangan ini sangat bersesuaian dengan perlembagaan yang memperuntukan agama Islam sebagai agama persekutuan.

"Kalau di negara kita ada unit polis seperti polis marin, FRU, PGA dan polis pelancongan. Kita juga boleh tubuh polis syariah," katanya.

Beliau juga meminta kerajaan mencontohi beberapa negara Islam seperti Arab Saudi yang mempunyai 3,500 unit khas polis syariah.

Manakala di Nigeria, lima daripada negerinya juga melaksanakan undang-undang syariah bahkan turut mempunyai unit polis khas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata cadangan itu satu permulaan yang baik untuk perubahan melalui pendakwaan yang lebih telus dan terbuka.

"Perkara ini di bawah KDN. Polis sudah ada kor agama macam tentera iaitu Baka, yang khusus kepada anggota polis sahaja.

"Sudah sampai masa kita lebarkannya melalui mahkamah syariah sehingga cadangan yang kukuh untuk perkasakan mahkamah syariah," katanya.

Terdahulu, Ahli Parlimen Padang Besar Datuk Zahidi Zainul Abidin meminta Perdana Menteri menyatakan bilakah pelaksanaan polis syariah akan dimulakan bagi memastikan proses sokongan pelaksanaan perundangan syariah negara ini dapat dipertingkatkan selari dengan hasrat rakyat dan komitmen Kerajaan Persekutuan. – HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: