Rabu, 5 November 2014

Berjubah, tudung labuh main bola jaring

SALMAH MAT HUSAIN



 


PASIR MAS: Biar pun tertudung labuh dan berjubah, namun tidak menghalang beliawanis menyertai kejohanan bola jaring tertutup anjuran kerajaan negeri.

Kejohanan yang julung-julung kali dianjurkan itu diadakan di 14 kawasan parlimen di Kelantan.

Pengarah Urusetia Belia dan Sukan (U-Bes) Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari berkata, penyertaannya khusus untuk golongan wanita diadakan secara tertutup.

"Kita mensyaratkan peserta-peserta yang menyertai kejohanan ini menutup aurat serta tidak membenarkan penonton lelaki hadir.

“Ini bagi memberi keselesaan kepada pemain-pemain beraksi. Alhamdulillah kesemua 14 kawasan selesai menganjurkan kejohanan tersebut,” katanya selepas merasmikan kejohanan bola jaring peringkat parlimen Pasir Mas di sini, kelmarin.

Sebanyak 15 pasukan menyertai kejohanan itu bagi setiap kawasan.

Ahmad Fadhli juga berkata, golongan beliawanis perlu bersedia menghadapi cabaran moden dengan menimba pelbagai bidang kemahiran.

Katanya, ia cukup penting sebagai jaminan untuk memenuhi tuntutan kerjaya yang semakin hebat persaingannya sekarang. - HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: