Ahad, 23 November 2014

Balak bukan sebesar mancis, tak tahu pembalakan haram?

MOHD AZMI ABDUL HAMID


MAJLIS Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menegaskan amalan rasuah menjadi punca segala kerosakan alam sekitar dan gejala sosial dalam negara ini. Ketamakan mereka yang berkedudukan dan yang berkuasa yang mahu membolot kekayaan melalui rasuah tidak mempedulikan kesan yang akan dihadapi oleh rakyat sekarang dan generasi akan datang. (Foto hiasan)

Dari kerosakan bukit Cameron Highlands sehingga penyeludupan barangan dan manusia ke dalam negara serta semaraknya penyakit sosial adalah musibah yang berpunca dari rasuah yang tidak dibanteras dengan berkesan dan ketamakan yang menjadi nilai yang menguasai sebahagian peneraju kuasa negara.

Akibat persekongkolan antara tauke dan segelintir pihak berkuasa serta ahli politik yang berkepentingan, rasuah nampaknya menjadi sebahagian dari urusan pentadbiran dan pengurusan negara. Khazanah negara menjadi komoditi paling direbut oleh mereka yang mencari peluang meraih keuntungan lumayan.

Pendedahan terbuka mengenai kepincangan pengawasan Cameron Highlands yang mengakibatkan bencana alam terbaru dan meragut nyawa tidak boleh dipisahkan dari gejala rasuah yang berleluasa.

Kerosakan Cameron Highlands bukan baru. Malah ia bukan tidak boleh dikesan dengan mata kepala para pegawai yang mengawasi kawasan tersebut. Sudah berapa kali tanah runtuh dapat dilihat di merata Cameron Highlands. Akan tetapi pihak berkuasa masih menganggap perlu mengumpul data untuk membuktikan kerosakan bukit tersebut sudah parah dan tidak mungkin boleh dipulih.

Malangnya sementara proses mengumpul data dilakukan, kawasan bukit yang menjadi khazanah negara itu sudah musnah dirosakkan oleh kegiatan penerokaan tanpa izin. Natijahnya bencana alam berulang lagi dan pihak berkuasa dan ahli politik mula saling menuding jari.

Demikian juga jika dilihat isu pembalakan. Ia kononnya digelar 'pembalakan haram' yang juga berleluasa. Tidak masuk akal pihak berkuasa tidak tahu, pada hal balak bukannya sebesar mancis api yang tidak boleh dikesan. Namun kerana ada pihak yang dibayar untuk menutup mata, maka hutan yang terbaki akhirnya dijadi sasaran untuk dieskploitasi dengan rakus.

Kini menteri yang berkenaan dan pihak media heboh mendedahkan satu kepincangan demi satu kepincangan dalam pengurusan Cameron Highlands. Kewujudan ratusan pekerja luar dan lereng bukit yang ditukar kepada kawasan pertanian yang sensitif telah mengakibatkan penggondolan bukit tersebut secara meluas dan berleluasa sehingga akhirnya berlaku tanah runtuh yang berterusan.

Bagaimana pekerja asing boleh berada di Cameron Highlands dengan seramai itu? Tidak munasabah pihak berkuasa tidak tahu. Kegiatan pertanian dilereng bukit itu boleh dilihat dengan jelas dan pekerja asing memenuhi kawasan itu. Kenapa kegiatan yang bertahun-tahun lamanya itu terlepas pandang oleh pihak yang bertanggungjawab?

Soalnya insiden bencana alam yang kerap berlaku bukan tidak boleh dielakkan. Pembangunan yang dihadkan, prosedur yang diketatkan serta penguatkuasaan undang-undang yang lebih tegas sepatutnya boleh mengelakkan bencana dari berlaku. Namun akibat penyelewengan dan persekongkolan antara pengusaha yang tamak dan pentadbir yang mudah disogok, kerosakan alam berleluasa dan negara kerugian berjuta ringgit.

Kini pihak SPRM telah mengumumkan akan menempatkan pejabat cawangan di Cameron Highlands yang dikatakan akan mengawasi perlakuan rasuah.

Pertanyaan kami ialah, bagaimana pula dengan sekian banyak kawasan lain yang juga sedang berhadapan dengan pemusnahan alam. Apakah tidak ada kemungkinan gejala rasuah banyak berlaku. Adakah SPRM akan menempatkan pegawai di kawasan-kawasan tersebut?

Betapa banyak aduan yang telah disampaikan kepada SPRM mengenai pelbagai kes salah guna tanah dan kelulusan yang tidak mengikut prosedur, namun rakyat yang mengadu masih menyaksi projek yang dibantah terus dilaksanakan tanpa sebarang tindakan.

Kami memang mengalu-alukan laporan audit negara yang dikeluarkan saban tahun yang mendedahkan kepincangan dalam pentadbiran pelbagai agensi kerajaan. Ketua Setiausaha Negara telah mengumumkan bahawa tindakan corrective (menambahbaik) dan punitive (tindakan disiplin) sedang dilakukan.

Namun kami mendapati masih banyak kes yang terlepas dari tindakan untuk membanteras penyelewengan, penyalahgunaan kuasa, salah laku dan kecuaian. Ia bukan sahaja merugikan berbilion ringgit wang awam tetapi juga mengakibatkan kerugian harta dan kehilangan nyawa manusia.

Kami menegaskan jika kerajaan tidak serius membanteras rasuah sehingga ke akar umbi, lambat laun negara akan hancur dan tergadai di tangan pemberi dan penerima rasuah. Menjadi pengetahuan umum betapa banyak projek yang mendapat penilaian yang kritikal dari agensi kerajaan sendiri,
namun akibat lobi dan pengaruh yang kuat dari pihak syarikat ke atas pihak yang memegang kuasa dan berkepentingan, projek yang membawa risiko kepada kemusnahan alam sekitar tetap diteruskan.

Pengumuman terakhir ialah apabila Perdana Menteri mengeluarkan arahan agar seangkatan anggota PDRM dan ATM dihantar ke kawasan Cameron Highlands supaya mengawasi dan mengesan pekerja asing tanpa izin (Pati) yang dikatakan berkeliaran di Cameron Highlands.

Sekali lagi kami menegaskan reaksi seumpama ini yang bersifat spontan hanya di kala media mendedahkannya secara meluas tidak akan menyelesaikan isu tersebut. Menghantar angkatan tentera bagaikan suatu operasi perang besar belum boleh dikatakan kerajaan serius.

Inti kepada masalah yang perlu diatasi sebenarnya terletak di tangan penguasa di pentadbiran Kuantan dan Putrajaya. Kesungguhan melakukan pembersihan dalam pentadbiran dan memastikan campur tangan politik tidak berlaku adalah tindakan utama jika kerajaan benar-benar serius mahu memelihara kawasan sensitif seperti Cameron Highlands. - HARAKAHDAILY

(*)   Penulis ialah Presiden Mapim.

Tiada ulasan: