Isnin, 24 November 2014

Bajet Selangor 2015: Azmin Umum RM2.4 Bilion, Dana Terbesar Dalam Sejarah Pakatan

Oleh: ARIFFUDDIN ISHAK
 
 
Azmin buat pertama kalinya membentangkan Bajet 2015 pada sidang DUN Selangor, Isnin.
 
 
 
SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor yang baharu, Mohamed Azmin Ali mengumumkan peruntukan sebanyak RM2.4 bilion dalam Bajet 2015 iaitu lebih 90 peratus daripada rizab kerajaan negeri berjumlah RM3.31 bilion.

Jumlah berkenaan adalah yang terbesar dalam sejarah Pakatan Rakyat di Selangor ketika di bawah kepimpinan bekas Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Pada 2014, kerajaan Selangor mengumumkan peruntukan bajet berjumlah RM1.8 bilion, manakala sebanyak RM1.63 diperuntukkan dalam bajet 2013.

Bajet 2015 yang bertemakan 'Pembangunan Berkualiti, Rakyat Dipeduli' pertama kali dibentangkan Azmin sejak mengambil alih pentadbiran kerajaan Selangor daripada Khalid pada September lalu.

Ketika membentangkan Bajet 2015 di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Azmin berkata, sebanyak RM1.2 bilion atau 53.19 peratus akan diperuntukan untuk perbelanjaan mengurus dan RM1.3 bilion atau 46.81 peratus bagi perbelanjaan pembangunan.

Menurut Azmin, kutipan hasil kerajaan Selangor bagi 2015 dianggarkan meningkat 6.49 peratus kepada RM1.97 bilion berbanding RM1.85 bilion pada 2014.

"Di bawah peruntukan mengurus, RM385 juta adalah bagi emolumen dan RM443.5 juta disediakan bagi perkhidmatan dan bekalan.

"Manakala RM17.6 juta diperuntukkan kepada pembelian aset. Sejumlah RM426.5 juta disediakan untuk pemberian dan kenaan bayaran tetap dan RM16 juta untuk perbelanjaan lain," katanya pada Isnin.

Tambah beliau, bagi tujuan pembangunan, sejumlah RM277.3 juta diperuntukkan bagi program-program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) dan RM106.6 juta disediakan bagi perkhidmatan masyarakat, pembangunan luar bandar, sektor perbandaran dan pembangunan usahawan.

"Seterusnya RM100.2 juta diperuntukkan bagi pembangunan sosial termasuk pendidikan, perumahan, pembangunan belia dan sukan dan pembangunan insan.

"Sejumlah RM48.9 juta akan diperuntukkan bagi pembangunan khas negeri dan RM44.4 juta bagi pengambilan balik tanah.

"Bagi pentadbiran am, sejumlah RM33.8 juta diperuntukkan, manakala bagi pembangunan adat Melayu dan warisan serta pelancongan, sejumlah RM9.25 juta disediakan," katanya.

Tiada ulasan: