Selasa, 4 November 2014

Anwar sindir pendakwa raya, mahu serah DNA pada wartawan

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohamed Azhar & Shuhaniza Said
Post Pic
 
 
 
PUTRAJAYA: Ketika keluar untuk sesi rehat dari kamar perbicaraan, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyindir pasukan pendakwaan dengan 'menawarkan' DNA beliau kepada pemberita. 
 
Anwar yang terus menerus diasak kerana keengganan memberikan DNA beliau di dalam kamar bicara bertindak sedemikian sebaik sahaja melangkah keluar dari kamar mahkamah.
 
"Dia (pasukan pendakwaan) minta saya punya DNA, saya bagilah. You minta? Ni saya nak bagilah ni," katanya sambil menghulurkan tangan seakan mahu mencabut bulu romanya untuk diserahkan kepada pemberita. 
 
Pasukan pendakwaan pada Isnin lalu memberitahu Mahkamah Persekutuan bahawa profil DNA yang diperolehi daripada tiga barangan yang digunakan Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah sepadan dengan profil 'Lelaki Y' yang diambil daripada pengadu, Mohd Saiful Bukhari Azlan.
 
Ketua Pendakwaan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, tiga barangan tersebut ialah tuala 'good morning', berus gigi dan botol air mineral yang diperoleh dari lokap ketika Anwar ditahan di Ibu Pejabat Kontijen Polis Kuala Lumpur (IPKKL).
 
Anwar, 67, disabitkan hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Rayuan kerana meliwat Saiful, iaitu bekas pembantu peribadinya di Kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara, Kuala Lumpur pada 26 Jun 2008.
 
Pada 24 April, Anwar memfailkan petisyen rayuan dengan memberi 35 alasan kenapa Mahkamah Persekutuan perlu membebaskan beliau daripada tuduhan meliwat, sejam sebelum berakhir tempoh yang disyaratkan beliau berbuat demikian.
 
Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria mengetuai panel lima hakim terdiri daripada Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md Raus Sharif dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Datuk Ramly Ali.
 
Anwar diwakili bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram, sementara pasukan pendakwa raya diketuai Ketua Pendakwa Raya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Tiada ulasan: