Roketkini.com
KUALA LUMPUR: DAP hari ini menggesa Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Razak supaya membuat pengiraan semula Belanjawan 2015 ekoran kejatuhan harga minyak mentah dunia.
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, pengiraan itu perlu dilakukan dan Najib harus menjelaskan kesan negatif kejatuhan kerana Belanjawan 2015 berjumlah RM273.9 bilion amat bergantung kepada hasil minyak.
“Adakah kita memerlukan semakan semula Belanjawan 2015 beserta unjuran defisit fiskal baru pada 3.4 peratus, yang lebih tinggi berbanding unjuran 3 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebelum ini, ekoran kejatuhan sehingga 20 peratus minyak mentah?
“Najib mempunyai kewajipan moral dan tugas berkanun untuk sentiasa memberikan maklumat terbaru kepada Parlimen, terutama apabila asas kepada belanjawan tidak lagi tepat,” katanya dalam satu kenyataan.
Pada tahun 2013, hasil minyak berjumlah RM63 bilion merangkumi 29.5 peratus daripada jumlah hasil kerajaan, termasuk pendapatan cukai dan royalti berjumlah RM36 bilion serta dividen Petronas sebanyak RM27 bilion.
Menurut anggaran hasil Kerajaan 2015, hasil minyak dikira berdasarkan harga minyak mentah (Tapis) pada USD110 segelen untuk tahun 2014 dan USD105 segelen tahun 2015.
Ahli Parlimen Bagan itu menegaskan, harga minyak mentah telah jatuh pada tahap terendah dalam empat tahun, dengan USD80 ke USD85 segelen pada dua minggu terakhir ini.
Katanya, berdasarkan anggaran yang dibuat The Edge Financial Weekly, kejatuhan setiap USD1 akan menyebabkan kerajaan hilang hasil kira-kira RM650 juta.
“Kejatuhan sebanyak 10 peratus akan meningkatkan defisit fiskal sebanyak 0.2 peratus, walaupun selepas mengambil kira pemotongan subsidi minyak.
“Jelas, anggaran harga minyak pada USD110 segelen untuk tahun 2014 dan USD105 segelen 2015 adalah terlalu optimis dan tidak realistik.
“Dengan kemungkinan harga lebih rendah, ada keperluan untuk pengiraan belanjawan baru ekoran kurangnya hasil minyak,” ujarnya.
Beliau menambah, kejatuhan 20 peratus harga minyak mentah turut akan menyebabkan defisit fiskal memburuk sebanyak 0.4 peratus daripada KDNK. -Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan