Jumaat, 7 November 2014

63 tahun: Masalah dalaman mematangkan PAS

MUHAMMAD FAIZAL 



 


KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar menyifatkan masalah yang timbul di dalam PAS merupakan ujian kepada parti untuk menyelesaikannya yang mematangkan PAS.

Beliau yang merupakan panel pada program Bicara Harakah 'Matangkan PAS Di Usia 63 Tahun' petang semalam turut memberitahu apa yang berlaku adalah satu peralihan dimensi dalam mencorakkan pemikiran matang.

"Ujian kepada PAS dalam memastikan parti itu terus matang dengan cara menguruskan krisis yang berlaku terutama krisis dalaman.

"Untuk mencapai pada usia 63 tahun, PAS telah melalui pelbagai proses ujian yang lebih mencabar jika dibandingkan sekarang," katanya.

‎Namun beliau yang turut berpendapat, walaupun kematangan terhadap PAS itu dilihat subjektif tetapi ia harus dilihat bagaimana parti itu diuruskan.

"Proses 63 tahun pertama telah kita lalui dengan bijaksana dan kita telah matang dengan setiap selok belok politik.

"Namun untuk menghadapi 63 tahun akan datang merupakan satu proses berterusan dan perlu diurus dengan baik agak kematangan PAS ini terus releven selama-lamanya.‎

"Tujuan penubuhan 'core business' PAS adalah politik iaitu dalam konteks demokarsi, pilihan raya dan hak rakyat, ini yang harus ditekankan dalam perjuangan sekarang," sambung beliau.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu turut berpendapat, jika dahulu rakyat hanya melihat PAS dan Umno, namun perubahan telah berlaku hari ini apabila orang melihat dari sudut dan aliran pemikiran yang berbeza.

"Walaupun pemikiran yang berbeza, PAS perlu meneruskan perjuangan untuk Islam dan kita bergerak ke depan, tidak perlu undur ke belakang.

"Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) merupakan satu kejayaan dan tahap kematangan terhadap realiti politik di Malaysia dalam konteks demokrasi," jelas beliau lagi.

Beliau turut menggesa agar anak muda perlu diberikan peluang untuk menonjolkan diri serta kebolehan mereka agar PAS terus relevan dengan seluruh lapisan masyarakat.

Turut menjadi panel pada program tersebut adalah Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Dr Riduan Mohd Nor dan Koordinator Lensa Anak Muda (Lensa), Safwan Anang sementara Pengerusi Impak Pemuda PAS Malaysia, Borhanuddin Othman selaku moderator. - HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: