Ahad, 8 Jun 2014

Najib Perlu Tangkap Segera Pemimpin ISMA...

shahbudindotcom


Walaupun pernah dikritik oleh bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad agar berdiam diri dan menyimpan saja segala pandangannya, para pemimpin Ikatan Muslimin Malaysia atau Isma terus juga mengeluarkan suaranya yang ekstrem, melampau dan kadangkala tidak masuk akal mengenai isu-isu politik negara ini.

Tetapi tidak seperti Perkasa yang jelas hala tujunya untuk memperjuangkan kepentingan Melayu dan hak Bumiputera dan pemimpinnya juga dikenali ramai, sebaliknya Isma ini bukan saja tidak begitu dikenali latar belakang pemimpinnya, malah apa inti perjuangannya pun tidak jelas.

Jika mengikut namanya, ia seperti memperjuangkan hal-hal berkaitan Islam dan umat Islam tetapi serangannya yang keterlaluan kepada bangsa dan kaum lain secara semberono kadangkala bertentangan dengan nilai-nilai Islam itu sendiri. Islam tentunya tidak pernah mengajar seperti apa yang dilakukan oleh Isma ini.

Dalam mereka mengkritik bangsa lain dan pemimpin pembangkang, kadangkala juga diragui jika Isma ini ditaja oleh UMNO atau Perdana Menteri kerana dalam banyak kenyataan yang dikeluarkannya jelas sekali tidak menguntungkan UMNO dan menjarakkan lagi sokongan bukan Melayu terhadap kerajaan dan juga Najib Razak.

Dan kalau pula kenyataan demi kenyataan yang kontroversi itu dikeluarkan semata-mata untuk menarik perhatian Putrajaya, memperolehi nama, beroleh imbuhan atau jawatan, namun sehingga ini tidak pula kelihatan ada pemimpin UMNO dan kerajaan yang memberi layanan karpet merah kepada Isma dan para pemimpinnya.

Jadi, apa tujuan pemimpin Isma ini melalak tidak henti-henti mengenai Cina dan bukan Melayu serta menyerang secara melampau pemimpin-pemimpin parti bukan Melayu?

Di antara kenyataan Isma yang agak kontroversi sebelum ini ialah apabila membangkitkan soal kedatangan kaum Cina ke negara ini sebagai penceroboh sehingga membangkitkan kemarahan banyak pihak, malah beberapa laporan polis atas dakwaan menghasut juga turut dibuat.

Isma juga pernah menyarankan agar hukum hudud, jika mahu dilaksanakan, haruslah juga merangkumi orang Islam dan juga bukan Islam.

Selain bekas Perdana Menteri, Mahathir yang meminta Isma agar diam dan berhenti daripada membuat bising, seorang pemimpin MIC, Vell Pari pula menyifatkan Isma sebagai NGO yang menghidap penyakit kelamin dan badut yang langsung tidak menghiburkan.

Semalam pula, Isma sekali lagi mengeluarkan kenyataan kontroversi dengan menuduh Lim Kit Siang mahu menghapuskan bangsa Melayu, bahasa Melayu serta kebudayaan Melayu melalui perjuangan politiknya.

Memang kenyataan itu amat kontroversi dan boleh menaikkan semangat. Jika Perdana Menteri seorang yang tidak cukup matang dan mudah terbuai, barangkali mahu saja menganugerahkan jawatan Senator kepada penuturnya dengan segera.

Tetapi, sesiapa pun yang normal lebih cenderung untuk tergelak kecil dengan salakan terbaru ini, berbanding terperanjat atau membenci Lim Kit Siang. Dalam masa yang sama, mungkin ramai pula yang bertanya, apa sebenarnya dimahukan oleh pemimpin Isma ini daripada kerajaan?

Kedudukan Melayu dan hal-hal berkaitan dengannya bukan saja dilindungi oleh perlembagaan dan dibentengi Raja-Raja Melayu, malah parti politik yang berteraskan Melayu pun masih wujud dan gagah dalam mempertahankan perkara itu. Apakah Isma fikir UMNO sudah tidak memperjuangkah Melayu lagi? Malah Pas yang memperjuangkan Islam pun tentunya juga akan bangkit dan menyingsing lengan kiranya bangsa Melayu atau bahasa Melayu mahu dihapuskan oleh Lim Kit Siang atau mana-mana pihak yang lain.

Kenyataan Isma ini bukan saja tidak masuk akal dan melampau, malah oleh kerana ia dilihat seperti mahu mempertahankan Najib dan kerajaan, serangan seumpama itu itu sebenarnya langsung tidak membantu Najib dan kerajaan untuk memupuk perpaduan dan memenangi pilihanraya akan datang. Malah ia mencemar nama Perdana Menteri, UMNO dan kerajaan.

Lagi kerap Isma bercakap mengarut dan tidak logik seperti ini, lagi payah Najib dan kerajaan mahu mengharapkan sokongan komuniti bukan Melayu. Isma dengan karektor dan perangainya sekarang adalah pembawa masalah besar kepada UMNO, BN, kerajaan serta juga Najib dalam konteks untuk mendapat keputusan yang lebih baik dalam pilihanraya akan datang kerana setiap kali bercakap, ianya sentiasa menjarakkan lagi hubungan kerajaan dengan bukan Melayu.

Sebagai sebuah negara merdeka yang memang sudah termaktub kewujudan Melayu, Cina dan India sebagai tiga kaum utamanya, mewujudkan persamaan dan saling memahami adalah lebih berfaedah daripada menimbulkan syak wasangka dan kebencian yang berterusan. Terimalah hakikat bahawa kewujudan tiga kaum utama ini tidak mungkin dipisahkan jika inginkan keharmonian.

Dalam hal ini, satu-satunya cara untuk membuat Isma diam dan tidak lagi mengarut ialah dengan kerajaan segera menangkap para pemimpinnya yang selama ini silih berganti mengeluarkan kenyataan kontroversi dan tidak berfaedah kepada negara. Kenyataan demi kenyataan mereka jelas boleh disabitkan dengan kesalahan menghasut dan menjejaskan keharmonian.

Dengan menahan dan menyumbat pemimpin Isma ini ke penjara, bukan saja mulut mereka dapat ditutup, malahan dapat membuktikan bahawa Najib, UMNO dan kerajaan tiada kaitan langsung dengan NGO itu. Dengan itu, keharmonian akan dapat dicari jalannnya dan peluang untuk mendapat keputusan lebih baik dalam pilihanraya akan datang juga turut menjadi lebih terbuka.

Berbanding dengan membiarkan Isma terus bercakap, selain merugikan UMNO dan juga kerajaan, malahan suara mereka juga lebih banyak memberi keuntungan secara tidak langsung kepada pembangkang yang diserangnya itu.

Oleh itu, Najib tidak harus berlengah lagi dalam bertindak terhadap Isma ini. Melayu pun lebih ramai benci berbanding suka dengan cara dan pendekatan NGO itu.

Tiada ulasan: