Khamis, 12 September 2013

Zahid nasihat LPF hati-hati tapis 'The New Village'


MALAYSIA KINI


 
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyerahkan sepenuhnya kepada Lembaga Penapis Filem (LPF) untuk membuat keputusan sama ada meluluskan penayangan filem kontroversi, The New Village. 
  
Namun, LPF katanya, perlu berhati-hati dalam membuat keputusan itu kerana filem tersebut dikatakan mempunyai mesej tersembunyi yang menggambarkan pengganas komunis sebagai lebih baik berbanding anggota keselamatan pada masa itu.
  
Katanya, walaupun filem tersebut menceritakan kisah percintaan dua remaja namun watak-watak dan mesej tersembunyi yang akan 'dihidangkan' kepada masyarakat perlu dinilai secara teliti.
  
"Saya tidak menyokong mana-mana pasukan keselamatan dalam filem itu yang mana pasukan keselamatan British digambarkan sebagai arrogant (angkuh), namun adakah komunis lebih baik daripada pasukan keselamatan?," katanya.
  
Beliau berkata, LPF perlu bersedia dan bertanggungjawab dengan reaksi masyarakat terhadap filem itu jika LPF membuat keputusan untuk meluluskan penayangannya.
  
"Namun jika masyarakat memberi reaksi yang baik terhadap filem tersebut maka pujian harus diberikan kepada LPF," katanya.
  
Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan bengkel transformasi Polis Diraja Malaysia 'Governance Structure and Organisational Design', di Port Dickson malam tadi.

Mengenai bengkel tersebut Ahmad Zahid berkata, ia bertujuan mencari idea dalam membawa transformasi dan memantapkan institusi kepolisan negara ini.
  
Turut hadir di majlis itu ialah Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar, dan timbalannya Datuk Seri Mohd Bakri Zinin. - Bernama

Tiada ulasan: