Ahad, 22 September 2013

[TRIBUNAL RAKYAT] Umno BN Salahguna Harta Kerajaan Semasa PRU13

 
KELAB GREENBOC
 
 
Umno-BN didapati menyalahguna kuasa sebagai Kerajaan sementara apabila menggunakan tiga kenderaan milik Jabatan Penerangan semasa majlis perasmian pusat operasi pilihan raya di Parlimen Batu, Kuala Lumpur, 7 April lalu.

Perkara itu didedahkan petugas media, Koh Jun Lin sebagai saksi dalam Tribunal Rakyat berkaitan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) di Hotel Empire, di sini hari ini.

Koh yang juga bertugas sebagai wartawan portal Malaysia Kini berkata, beliau cuba mendapatkan ulasan rasmi daripada pihak pengajur mengenai kemungkinan salah guna jentera kerajaan itu semasa berkempen, namun ditolak.

“Saya dibawa berjumpa dengan seorang individu yang dipercayai penganjur acara itu bernama Kapten Suhaimi Yahya untuk mendapatkan penjelasan.

“Saya hampir dikasari petugas di situ yang mengarahkan saya balik dan jangan membuat kacau di sini, manakala Suhaimi pula berpaling kepada saya dan mengatakan, saya tidak lepuk kamu sudah baguslah,” katanya.

Mengulas lanjut, Koh berkata, kenderaan berkenaan melibatkan satu van dan dua SUV, di mana salah satu daripadanya dilengkapi pembesar suara di bahagian bumbung untuk menyiar ucapan perasmian Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa majlis itu.

“Selain tiga kenderaan itu, saya juga dapat melihat beberapa harta kerajaan seperti mikrofon dan alat pembesar suara menggunakan logo Jabatan Penerangan turut digunakan,” katanya.

Seorang lagi saksi, Alfian Zohri Mohd Tahir yang menjadi sukarelawan Pemantau dalam pilihan raya lalu berkata, insiden sama (penggunaan jentera kerajaan) turut dikenalpasti digunakan dalam kempen BN di kawasan Tebrau.

Beliau berkata, hampir 10 buah bas tertera logo Pusat Khidmat Latihan Negara (PLKN) digunakan jentera BN untuk menghadiri sebuah majlis keramaian bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Majlis itu turut dihadiri pimpinan BN lain seperti Datuk Seri Khaled Nordin dan Dr Chua Soi Lek.

“Selain menggunakan jentera kerajaan, beberapa buah kain rentang yang menghina pihak lawan (Pakatan Rakyat) turut digantung di kawasan Tebrau selain pengedaran risalah berbaur perkauman kepada orang ramai,” katanya. -selangorku

Tiada ulasan: