KUALA LUMPUR - Nelayan tempatan, yang menyewa atau memajakkan bot mereka kepada nelayan asing, bakal berdepan tindakan tegas tanpa kompromi termasuk disenarai hitam daripada memperoleh apa-apa lesen berkaitan perikanan.

Demikian amaran Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kepada nelayan tempatan di negara ini bagi membanteras aktiviti berleluasa nelayan asing di perairan negara.

Beliau berkata kementerian menyedari krisis kesukaran nelayan tempatan mendapatkan tekong dan awak-awak tempatan untuk bekerja di laut dalam, namun masalah itu tidak boleh dijadikan alasan dengan menyewakan bot kepada nelayan asing sehingga mendatangkan masalah.

"Bot asing... kita tidak akan benarkan masuk ke negara kita, tetapi apa yang berlaku ialah bot yang didaftarkan atas nama nelayan Malaysia, disewakan kepada nelayan asing, sesetengahnya dipajak terus yang mana semua, sama ada dari segi tekong, awak-awak dan sebagainya, keseluruhannya adalah nelayan asing," katanya kepada pemberita selepas majlis sambutan Aidilfitri Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) di sini semalam.

Ismail berkata kementerian itu akan bekerjasama dengan agensi berkaitan termasuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia bagi memeriksa secara terperinci lesen bot yang dimiliki nelayan tempatan bagi memastikan mereka tidak menyalahgunakan lesen yang diberikan.

Selain itu, beliau meminta Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) mencari inisiatif bagi menarik minat golongan muda membabitkan diri dalam sektor perikanan dalam usaha mengatasi penggunaan tekong dan awak-awak asing. - Bernama