SHAH ALAM – Pas tidak akan mampu memegang tampuk pemerintahan negara sekiranya tidak bekerjasama di dalam Pakatan Rakyat (PR), kata Pengerusi DAP Selangor, Teresa Kok.

Beliau yang mengulas kenyataan Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib supaya mengkaji semula kerjasama politik (tahaaluf siyaasi) Pas dalam PR berharap parti itu membuat pertimbangan yang bijak.

Teresa berkata, Pas sangat penting di dalam PR dan tiada satu pun parti politik di negara ini boleh mencapai matlamat tanpa bekerjasama dengan parti lain.

“Sekiranya Pas mempunyai matlamat perjuangan jangka panjang maka adalah wajar bagi parti tersebut untuk terus berada di dalam PR.

“Apabila pemimpin Pas buat kajian tentang kebaikan dan keburukan untuk berada di dalam PR saya berharap mereka boleh mempertimbangkan mengenai perkara tersebut,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau turut mempersoalkan kemampuan Pas untuk menang dan menarik sokongan kuat pengundi bukan Islam serta bukan Melayu jika keluar daripada PR, seperti mana berlaku pada Pilihan Raya Umum Ke-12.

“Pas mendapat sokongan yang meningkat di Selangor kerana pengundi bukan Melayu memberi sokongan kepada Pas dan PR.

“Jadi apakah Pas mampu menang banyak kerusi sekiranya ia keluar daripada PR?” tegasnya.