Ahad, 1 September 2013

"Tanda Putera Taklah Menarik Sangat " - Anwar

alt
 
 Mahirah Zakaria 
 
 
KUALA LUMPUR - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui sudah menonton sedutan filem Tanda Putera dan beranggapan filem itu 'tidaklah menarik sangat'.
 
Menurut Anwar, beliau menonton kerana suka-suka dan bukannya serius seperti menonton filem Hindi tahun 1964, Sanggam.
 
"Saya tonton filem suka-suka dan bukannya serius seperti Sanggam (filem Hindi tahun 1964),” katanya ketika menyampaikan perutusan Hari Merdeka kali ke-56, di sini, hari ini.
 
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan kerajaan Pulau Pinang yang menasihatkan pengusaha pawagam di negeri itu tidak menayangkan filem Tanda Putera.
 
Namun begitu, tindakan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang mengarahkan agar filem tersebut tidak ditayangkan mendapat reaksi negatif Anwar.
 
"Saya sendiri tidak bersetuju dengan saranan yang dikemukakan oleh Guan Eng.Tetapi beliau hanya menasihatkan, bukan melarang penayangan Tanda Putera.
 
“Di negara merdeka, sesiapa sahaja berhak memberi pandangan,” katanya.
 
Bagaimanapun, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek melalui status terbaru di laman sosial Facebooknya berkata, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) telah diminta untuk memastikan tayangan filem itu di Pulau Pinang diteruskan.
 
Katanya, filem tersebut akan ditayangkan di pawagam di Pulau Pinang mulai Sabtu ini.
 
Sebelum ini, Guan Eng telah mencetuskan kontroversi apabila dilaporkan telah meminta pengusaha pawagam di negeri itu untuk tidak menayangkan filem yang disifatkan pembangkang sebagai kontroversi.
   
Namun, Guan Eng dalam satu kenyataan hari ini berkata, ia berupa nasihat dan bukannya larangan.

Tiada ulasan: