Khamis, 5 September 2013

Syria: PAS, NGO demo di kedutaan Amerika esok

Anis Nazri,

KUALA LUMPUR: PAS bersama beberapa NGO akan mengadakan perhimpunan aman di Kedutaan Amerika Syarikat (AS) bagi membantah campur tangan negara itu ke atas konflik di Syria, selepas solat Jumaat, esok.

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, berkata perhimpunan itu juga sebagai satu desakan kepada AS agar tidak meneruskan hasrat mereka untuk melakukan serangan ke atas Syria.

"Isu ini isu anti-perang. Kita tidak mahu AS campur tangan dalam urusan dalaman Syria. Semua ahli PAS dan rakyat Malaysia diseru untuk menyertai himpunan aman ini esok," tegas beliau ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Beliau berkata,seperti biasa, para peserta diminta berkumpul di hadapan Bangunan Tabung Haji, sebelum berarak ke kedutaan untuk penyerahan memorandum oleh NGO.

Sementara itu, Lajnah Antarabangsa PAS Pusat turut mengutuk cubaan campur tangan ketenteraan Amerika terhadap Syria yang turut disokong beberapa negara besar lain.

Pengerusinya, Datuk Kamarudin Jaffar, berkata sejarah telah membuktikan bagaimana campur tangan Amerika di negara lain tidak menyelesaikan masalah yang ada, sebaliknya mengeruhkan lagi keadaan.

"Sejarah membuktikan, bagaimana berlaku di Iraq dan Afghanistan bahawa campur tangan itu tidak menyelesaikan masalah, malah menjadikan krisis negara itu bertambah parah dan rakyat terus menderita," kata beliau.

Turut serta mengutuk cubaan itu Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) yang menyifatkan hasrat AS ini hanya 'menangguk di air keruh' sedangkan isu yang berlaku di Syria adalah isu dalaman negara itu sendiri.

"Niat AS untuk menyerang Syria ini hanya satu bentuk provokasi, untuk menguasai rantau Timur Tengah. Ia perlu dihentikan kerana tiada satu negara pun yang telah dicampur tangan AS menjadi lebih baik," tegas beliau.

Malah, kata beliau peranan yang dimainkan Liga Arab sebelum ini turut memberi tekanan kepada Syria walaupun regim Bashar Al-Assad masih berkuasa.

"Cukuplah dengan peranan Liga Arab yang dilihat turut memberi kesan, walaupun regim masih kekal. Tapi tekanan yang ada ini sudah menunjukkan Syria ada sedikit tolak-ansur terhadap krisis ini," tegas beliau.

Justeru, beliau yang juga Pengerusi Lajnah Antarabangsa Pemuda PAS Pusat turut menyeru Pemuda PAS di seluruh negara untuk sama-sama menyertai perhimpunan aman esok bagi menyatakan pendirian bersama dalam isu ini.

Tiada ulasan: