KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedang berusaha keras untuk menambah baik prasarana komunikasi bagi meningkatkan kadar penggunaan jalur lebar ke tahap yang lebih tinggi.
  
Ketua Pegawai Pembangunan Industrinya, Datuk Mohd Ali Hanafiah Mohd Yunus berkata, suruhanjaya itu berjaya melonjakkan kadar penembusan jalur lebar isi rumah kepada 67 peratus setakat ini.
  
"Pada suku kedua tahun ini, kadar penembusan pelanggan mudah alih negara berkembang kepada 143.5 peratus.
  
"Dengan penembusan jalur lebar dan mudah alih mencecah kuantiti yang diperlukan, Malaysia kini mempunyai jumlah pengguna yang besar yang teruja mencari kandungan dan aplikasi yang akan meningkatkan kualiti hidup mereka," katanya pada pembukaan Hari Pemaju Malaysia 2013 (MDD2013) di sini, hari ini.
  
Mohd Ali berkata, bagi menggalakkan pembangunan industri kandungan dan aplikasi, SKMM telah menubuhkan Dana Pembangunan Industri Kreatif.
  
"Dana itu, dengan peruntukan RM100 juta adalah bertujuan untuk memudah dan menggalakkan pembabitan rakyat Malaysia dalam penciptaan dan penghasilan kandungan multimedia yang kreatif dan asli," katanya.
  
SKMM juga menyediakan geran bagi kandungan dan aplikasi inovatif dan kreatif terutamanya kepada pelajar di institusi pengajian tinggi, untuk menghasilkan kandungan dan aplikasi yang mempunyai potensi untuk dikomersialkan.
  
"Menurut Kaji Selidik Pengguna Telefon Bimbit SKMM tahun lepas, 57 peratus daripada pengguna telefon bimbit di Malaysia yang berusia 20 hingga 39 tahun aktif dalam memuat turun aplikasi.
  
"Secara purata, lebih daripada 60 peratus pengguna telefon bimbit memuat turun sekurang-kurang 10 aplikasi. Ini menawarkan potensi besar bagi pemaju aplikasi mudah alih untuk membangunkan aplikasi inovatif dan menjadikannya satu kejayaan perniagaan," katanya.
  
MDD 2013 ialah pertandingan pembangunan aplikasi mudah alih 24 jam yang dianjurkan bersama oleh SKMM dan AT&T Global.
  
Ia disasarkan untuk menjadi pemangkin bagi inovasi dan keusahawanan.
  
Dalam mesej video mengalu-alukan peserta, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berharap, MDD 2013 boleh menjadi platform bagi para peserta untuk belajar teknologi bahu, menerap dan mengubah idea kreatif mereka menjadi satu kejayaan perniagaan. - Bernama