Berbeza dengan laporan media, pengarah Tanda Putera Shuhaimi Baba hari ini mendakwa filem kontroversinya itu menunjukkan prestasi di luar jangkaan.

Katanya, beberapa komen di media sosial melaporkan fenomena penonton di beberapa pawagam memberikan tepukan gemuruh sebaik sahaja filem tamat, walaupun tanpa kehadiran pengarah atau pelakon filem itu.

NONEBeliau merujuk laporan sebuah media sebelum ini yang turut menunjukkan gambar panggung yang hanya mempunyai 30 orang penonton pada tayangan tengah hari di sebuah pawagam di Pulau Pinang, pada hari kerja.

Justeru, beliau membangkitkan persoalan kenapa perkara itu dibangkitkan sedangkan menurutnya penonton memang kurang pada hari bekerja, walaupun melibatkan filem blockbuster Hollywood sendiri.

"Membaca berita ini, seorang kawan menceritakan bagaimana dia dan suami pernah menonton filem James Bond Skyfall di hari kerja dan hanya mereka berdua sahaja dalam panggung di kompleks beli-belah yang terletak di Kelana Jaya itu!" katanya.

Tuntut maaf kerana 'fitnah melampau'
Dalam kenyataannya hari ini, Shuhaimi berkata, di sebalik hentaman dan sindiran, termasuk daripada pemimpin politik yang didakwanya cuba memperlekeh dan menimbulkan kebencian kepada filem itu, beliau bersyukur kutipannya baik.

"Kepada pembenci filem ini yang melabelkannya filem Umno, mana mungkin pawagam tidak dipenuhi ahli Umno seramai 3 juta orang itu pada 4 hari pertama filem ini ditayangkan.

"Sudah tentu pecah panggung dan mencatat pungutan box office berjuta-juta ringgit!" katanya lagi.

Justeru, Shuhaimi menuntut pihak terbabit memohon maaf kerana menaburkan "fitnah yang melampau" terhadap mereka.

"...tapi kami tidaklah berharap sangat. Yang lebih penting dan kami hargai adalah sokong kuat yang kami terima.