KUALA LUMPUR - Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said cuba menarik perhatian orang ramai dengan melakukan perkara pelik seperti mengibarkan bendera alternatif pada malam ambang Kemerdekaan di Dataran Merdeka, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Menurutnya, apa sahaja yang boleh menarik perhatian ramai, sasterawan itu akan melakukannya dengan harapan perhatian akan diberikan kepada mereka.

"Macam budak kecil yang tidak diberikan perhatian, beliau akan melakukan pelbagai perkara pelik dengan harapan ibu bapa mereka akan marah, agak malang kerana perkara ini timbul daripada orang yang dianggap sebagai sasterawan negara," katanya kepada media selepas melancarkan pertandingan penulisan skrip filem pendek Malaysia 2013 di  sini hari ini.

Sementara itu, mengulas mengenai tayangan lagu Negaraku di setiap pawagam, katanya beliau berpuashati dengan respons orang ramai dan berharap pengusaha pawagam dapat memainkan semula lagu itu pada 16 Sept ini sempena Hari Malaysia.

Pertandingan penulisan skrip itu dianjurkan Anext Star Production dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

Pertandingan itu dibuka kepada orang ramai mulai hari ini hingga 15 Nov ini. - Bernama