GEORGE
TOWN,: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata,
hanya dengan melaksanakan tender terbuka yang berdaya saing dan
menentang rasuah negara akan dapat menjimatkan wang sebanyak RM51 bilion
setiap tahun.
Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak juga boleh
meyakinkan orang ramai akan keikhlasan beliau dan keperluan menaikkan
harga petrol RON95 sebanyak 20 sen seliter untuk menjimatkan kos subsidi
tahunan sebanyak RM3.3 bilion.
Beliau berkata, tanpa langkah yang menunjukkan komitmen
Kerajaan Persekutuan terhadap rasuah, orang ramai akan dengan mudah
mempertikaikan keikhlasan kerajaan dan melihat tuntutan untuk
mengurangkan kos sebagai palsu.
“Mengapa rakyat, terutama golongan berpendapatan rendah,
perlu menanggung penderitaan membayar RM3.3 bilion setahun kerana
peningkatan harga petrol jika tiada tindakan diambil terhadap penyamun
politik yang mencuri RM51 bilion setiap tahun daripada wang negara,”
katanya ketika berucap kepada Diaspora Pulau Pinang di Hong Kong, yang
diterbitkan di Komtar, semalam.
Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP berkata,
berdasarkan pengalaman tanggungjawab fiskal dan memerangi rasuah oleh
kerajaan negeri Pakatan Rakyat (PR) Pulau Pinang dan Selangor,
sekurang-kurangnya penjimatan 25% setahun boleh dicapai daripada kontrak
perolehan kerajaan.
“Lebihan bajet tahunan di Pulau Pinang, peningkatan rizab
aset sebanyak 50% dan pengurangan hutang kerajaan negeri Pulau Pinang
dengan rekod 95% membuktikan keberkesanan langkah integriti daripada
tender terbuka yang berdaya saing kepada pengisytiharan aset awam.
“Dengan anggaran RM201 billion kontrak perolehan Kerajaan
Persekutuan setiap tahun, penjimatan minimum 25% akan berjumlah RM51
bilion.
“Mengapa kerajaan Persekutuan BN bersikap berkira pada satu
sisi tetapi membenarkan pembaziran yang besar pada sisi lain dengan
tidak memberi tumpuan kepada potensi penjimatan RM51 bilion yang memberi
manfaat kepada hanya beberapa kroni kaya dan bukannya memaksa 28 juta
rakyat Malaysia menanggung RM3.3 bilion daripada kenaikan harga petrol,”
tambahnya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, bukan sahaja
Kerajaan Persekutuan gagal melaksanakan logik mudah ini, sebaliknya
mereka cuba mengalihkan perhatian daripada kesimpulan yang tidak dapat
dielakkan dengan memainkan isu perkauman, sentimen agama dan pelampau.
Menurutnya, taktik perkauman dan pelampau digunakan dengan
jayanya oleh BN untuk mengelak daripada mendepani empat masalah sebenar
Malaysia, iaitu jenayah, rasuah, peningkatan hutang kerajaan dan setiap
isi rumah serta penurunan taraf pendidikan, produktiviti dan kemahiran
tenaga buruh Malaysia.
“Di Hong Kong, ramai pelabur dan penganalisis mengenal
pasti empat isu utama ini yang menjadikan Malaysia kurang menarik atau
kurang berdaya saing.
“Mengurangkan jenayah tidak begitu sukar jika kerajaan
Persekutuan BN bersedia membenarkan polis memerangi jenayah dan bukannya
memantau pemimpin pembangkang.
“Pada masa ini hanya 10% daripada pasukan polis yang
terbabit dalam penyiasatan jenayah. Jika jumlah ini meningkat kepada 50%
daripada pasukan polis keseluruhannya, saya pasti polis akan dapat
menumpaskan penjenayah di Malaysia dengan lebih berkesan,” ujarnya.
Guan Eng berkata, BN mendakwa hutang Kerajaan Persekutuan
kini 54% daripada KDNK, bagaimanapun ini tidak termasuk hutang dijamin
kerajaan yang akan meningkatkan jumlah hutang Kerajaan Persekutuan
kepada 70%.
Katanya, jika hutang 70% kepada nisbah KDNK adalah tinggi, hutang isi rumah adalah lebih tinggi pada 83.5% daripada KDNK.
“Kebergantungan sedemikian kepada hutang adalah kesan
pinjaman fiskal melulu sebagai jalan keluar mudah daripada masalah
negara kita. Kerajaan Persekutuan perlu menunjukkan kepimpinan melalui
teladan kepada setiap isi rumah dengan mengurangkan pergantungan hutang.
“Kerajaan Persekutuan juga gagal melabur untuk masa depan
tanpa melabur dalam pendidikan yang berkualiti. Banyak pelabur asing
dalam bidang teknologi tinggi berintensifkan pengetahuan merungut
tentang kemerosotan kualiti dan penurunan tenaga kerja negara ini di
semua peringkat, terutamanya penguasaan lemah Bahasa Inggeris.
“Dengan penetapan piawaian BN pada tahap cukup makan
semata-mata dan bukannya budaya kecemerlangan, kepada kuota politik dan
bukannya prestasi dan retorik kosong dan bukannya tindakan konkrit,
Malaysia berisiko ditinggalkan bukan sahaja oleh pelabur asing
berteknologi tinggi tetapi juga bakat terbaik kita yang berhijrah ke
negara lain seperti Hong Kong,” tambahnya.
Guan Eng berkata, Kerajaan Negeri Pulau Pinang berani
menawarkan model di mana prestasi adalah lebih penting berbanding latar
belakang politik, di mana usaha dibuat untuk menarik institusi
pendidikan yang berkualiti di semua peringkat, di mana sebuah kerajaan
yang jujur dan cekap melalui perkongsian dengan sektor swasta dan sektor
awam serta sebuah bandar yang selamat, bersih, hijau dan sihat boleh
memberikan penyelesaian kepada empat masalah yang disebut di
atas.-Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan