Isnin, 2 September 2013

Rayuan petisyen Dun Selising 26 Sept

Aslani M,
 
KOTA BHARU: Rayuan PAS terhadap petisyen pilihan raya Dun Selising akan didengari di Mahkamah Persekutuan pada 26 September ini.

Manakala sehari sebelum itu rayuan bagi Parlimen Machang juga didengari di mahkamah sama.

Peguam Hisham Fauzi (gambar) berkata, rayuan terhadap petisyen pilihan raya Dun Selising dan Parlimen Machang akan dikendalikan panel lima hakim. Pasukan peguam PAS akan diketuai Hanipa Maidin.

Katanya, rayuan dibuat berikutan Hakim Pilihan Raya di sini sebelum ini menolak petisyen tersebut dengan alasan teknikal.

Mahkamah Pilihan Raya di sini pada Julai lalu menolak petisyen difailkan PAS di Dun Selising dengan alasan pempetisyen gagal mematuhi peraturan penyampaian.

Hakim Datuk Zamani Abdul Rahim memberitahu petisyen itu tidak disampaikan dengan sempurna dan ia ditolak dengan kos.

“Sedangkan kami berhujah Kaedah 15, Kaedah-Kaedah Pilihan Raya telah dipenuhi selaku pempetisyen kes berkenaan,” katanya ketika ditemui di sini.

Mahkamah yang sama juga menolak petisyen difailkan PKR bagi Parlimen Machang.

Pada pilihan raya umum lalu calon BN di Dun Selising, Zulkifle Ali mengalah calon PAS, Drs Saipul Bahrim Mohamad dan calon Bebas, Ibrahim Ismail dengan majoriti 107 undi.

Petisyen PAS Dun berkenaan difailkan Pengarah Pilihan Raya PAS Dun Selising, Semsudin Muhammad.

Manakala di parlimen Machang, calon PKR Dr Wan Zawawi Wan Ismail kalah kepada calon BN, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dengan majoriti 805 undi.

Sementara itu dalam perkembangan berkaitan, Mahkamah Pilihan Raya hari ini menetapkan Khamis ini bagi keputusan bantahan awal kedua responden pertama terhadap petisyen pilihan raya Dun Gaal.

Hakim Datuk Zamani menetapkan tarikh tersebut bagi membolehkan responden pertama memfail hujahan bertulis hari ini.

Manakala pempetisyen dan responden kedua serta ketiga memfail hujahan bertulis mulai esok.

Pada prosiding hari ini pempetisyen diwakili peguam Mohd Ilyas Mohd Noor. Peguam kanan persekutuan, Azizan Md Arshad mewakili responden kedua dan ketiga.

Manakala peguam Aminuddin Zulkifli, Nik Baharom Nik Abdullah, Mohd Abdul Rashid Yah, Nasar Khan Mirbas Khan, Hisham Fauzi dan beberapa lagi peguam mewakili responden pertama.

Pada pilihan raya umum lalu calon BN, Redzuan Stapha kalah kepada calon PAS Tuan Mazlan Tuan Mat dengan majoriti 302 undi di Dun Gaal.

Sebelum ini mahkamah pilihan raya di sini turut menolak petisyen parlimen Ketereh, Bachok, Dun Air Lanas, Dun Kok Lanas, Manek Urai, Mengkebang dan Jelawat.

Tiada ulasan: