KOTA KINABALU - Prosiding Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat masalah pendatang asing tanpa izin di Sabah di sini tamat hari ini untuk memberi laluan kepada panel pesuruhjaya RCI meneliti keterangan.
  
Panel lima anggota dipengerusikan bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Steve Shim Lip Kiong telah mengendalikan siri prosiding yang bermula 14 Januari dengan mengemukakan 211 saksi.
   
"Proses berjalan lancar. Tiada yang buat perangai, tiada yang baling kerusi. Semua hujahan dilakukan secara beradab," kata Shim secara berseloroh.
  
Namun dalam nada serius, katanya beliau dan semua pesuruhjaya kini mula menjalankan tugas menyemak dan meneliti keterangan yang dikemukakan di hadapan mereka sehingga 21 Disember.
  
"Terdapat banyak laporan, dokumen dan keterangan yang kami perlu teliti. Tetapi kami akan cuba menyiapkannya dan merumuskan penyelesaian terhadap masalah ini dalam tempoh masa diberikan kepada kami," katanya.
 
Pesuruhjaya yang lain ialah bekas Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) Profesor Datuk Dr Kamaruzzaman Ampon, bekas Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Henry Chin Poy Wu, bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Herman J. Luping, yang juga Peguam Besar negeri dan bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk KY Mustapha.
  
Pegawai pengendali sepanjang prosiding ialah Manoj Kurup, Datuk Azmi Ariffin dan Jamil Aripin, mankala pasukan Persatuan Undang-undang Sabah diketuai Datuk John Sikayun, bertindak sebagai pemerhati.
  
Penubuhan RCI dan pelantikan Shim serta anggota panel diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 11 Ogos tahun lepas, sebagai langkah murni untuk menyelesaikan masalah pendatang tanpa izin di Sabah.
  
Dalam mengumumkan bidang kuasa suruhanjaya itu, Najib berkata antara lain mereka akan menyiasat jumlah pendatang asing di Sabah yang telah diberikan kad pengenalan (IC) atau kewarganegaraan.
  
Fokus siasatan adalah sama ada IC biru atau kewarganegaraan kepada warga asing dibuat berdasarkan undang-undang dan sama ada mereka yang memperoleh IC biru atau resit pengenalan sementara (biru) atau kewarganegaraan secara haram didaftarkan dalam Senarai Pemilih.
  
Anggota pihak berkuasa relevan turut dipanggil memberi keterangan dalam prosiding untuk menentukan sama ada mereka telah mengambil sebarang tindakan atau usaha untuk menambahbaik prosedur operasi standard, kaedah dan peraturan untuk mengelakkan ketidakpatuhan undang-undang berhubung masalah itu.
  
Siasatan itu menyaksikan beberapa ahli politik berprofil tinggi memberikan keterangan iaitu bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim serta beberapa pemimpin negeri yang lantang menyuarakan isu itu seperti Timbalan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan. - Bernama