Logo-logo dan lambang kumpulan kongsi gelap di Malaysia - Foto Ihsan PDRM
SERDANG – Polis dalam usaha memburu saki baki ahli geng kongsi gelap 08 yang dipercayai terlibat dengan kegiatan penyamaran sebagai anggota polis di sekitar kawasan Serdang.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Abd Razak Elias berkata, ia ekoran penahanan seorang lelaki dipercayai ahli geng kongsi gelap terbabit bersama dua jaket bertulis Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam Ops Cantas Khas malam Khamis lalu.
Lelaki berusia 36 tahun yang memandu kenderaan pacuan empat roda Toyota Harrier itu ditahan dalam sekatan jalan raya di Taman Seri Serdang dekat sini, kira-kira jam 11.30 malam.
Pemeriksaan kenderaan suspek menemui satu jaket milik PDRM, satu jaket hitam dengan lambang integriti PDRM serta sehelai kemeja-T dengan gambar pistol jenis Glock.
Selain itu, satu paket syabu serta sebilah 'pisau Rambo' disembunyikan dalam kenderaan terbabit turut ditemui.
Abd Razak berkata, pihaknya yakin dapat menyelesaikan kes penyamaran polis itu dalam masa terdekat ini.
“Kami masih mengenal pasti lain-lain ahli geng ini jika ada yang terlibat berkaitan kes penyamaran sebagai penjawat awam.
“Motif lelaki yang ditahan menyamar sebagai polis masih dalam siasatan, setakat ini tiada keterangan daripada suspek menyatakan dia terlibat kegiatan samun melalui penyamaran dilakukan,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya percaya suspek yang mempunyai tatu lambang Geng 08 pada lengan kanan dan dada kirinya lebih kepada menipu orang awam supaya mempercayainya adalah anggota polis.
Suspek yang diberkas menaiki kenderaan curi dengan nombor pendaftaran palsu itu disiasat mengikut Akta Pendaftaran Pertubuhan 1956 dan Akta Dadah Berbahaya 1952.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan