Selasa, 24 September 2013

Peruntukan pada pembangkang, S'gor tunggu bajet dulu

 


 
 
Selangor akan hanya membuat keputusan tentang peruntukan kepada ADUN pembangkang selepas meneliti Belanjawan 2014 yang akan dibentangkan bulan Oktober depan, kata Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim.

NONE"Oleh kerana bajet kita adalah pada bulan November, bajet kerajaan Persekutuan (pula) adalah bulan Oktober, jadi kita tunggu bajet kerajaan Persekutuan sebagai asas untuk keputusan kita untuk peruntukkan kepada semua ADUN dan ahli parlimen tidak kira dari mana parti mereka," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas langkah kerajaan Pulau Pinang memperuntukkan RM40,000 setahun kepada ADUN pembangkang bermula tahun depan untuk projek-projek pembangunan dalam kawasan mereka.

Menurut Khalid, belanjawan Persekutuan itu akan menjadi kayu ukur kepada sejauh mana kesediaan kerajaan BN menerima MP dan ADUN Pakatan sebagai wakil-wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat.

"Salah satu daripada perbincangan yang kita lakukan ialah kita hendak melihat kesahihan dan usaha kerajaan Persekutuan untuk menunjukkan ia bersedia untuk menerima wakil-wakil rakyat yang bukan dari BN menjadi wakil kepada rakyat," katanya kepada Malaysiakini tengah hari tadi.

Ahad lalu Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mengumumkan sepuluh ADUN Umno di negeri itu bakal diberikan peruntukan untuk projek pembangunan kecil sebanyak RM 40,000 setahun mulai 2014.

Lim yang juga setiausaha agung DAP berkata peruntukan kepada pembangkang negeri itu "diluluskan secara prinsip" dalam mesyuarat exco negeri pada 18 September lalu.

Katanya lagi, langkah itu menunjukkan bahawa Pakatan bersikap terbuka, menghormati prinsip dan semangat demokrasi dan adil kepada semua pihak tanpa mengira latar belakang.

Tiada ulasan: