Menurut Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali, kerajaan juga perlu turut berjimat-cermat, bukannya hanya dengan mengambil langkah memotong subsidi minyak untuk mengatasi defisit negara.
"Serentak dengan kenaikkan minyak 20 sen baru-baru ini, kerajaan sepatutnya juga mengumumkan pemotongan gaji pegawai tinggi kerajaan, menteri dan pengarah dalam GLC sebanyak 5%.
"Perlulah ada penjimatan kos daripada sebelah kerajaan, selain itu majlis-majlis yang menggunakan wang rakyat juga perlu dikurangkan," kata Ibrahim dalam satu sidang media di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur hari ini.
Menurut Ibrahim, semasa mengumumkan pemotongan subsidi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak perlu turut mengumumkan program penjimatan dalam agensi-agensi kerajaan.
"Perkasa mendapat maklum balas daripada rakyat yang rata-ratanya gelisah.
"Kalau kerajaan mahu kurangkan defisit negara, beliau sepatutnya serentak mengumumkan penjimatan belanja negara dalam agensi-agensi kerajaan," katanya.
Ibrahim juga mendesak kerajaan supaya lebih menekankan program-program yang lebih produktif dan bukannya berbelanja kepada perkara yang membazir dan tidak bermanfaat.
"Malah pada saya, perayaan Hari Kemerdekaan itu penting, tapi kalau boleh dikurangkan kos dan ditumpukan kepada perayaan-perayaan yang lebih mendatangkan semangat jati diri.
"Ini kira sesetengah perbelanjaan ini tidak produktif, jadi kita cadangkan supaya ada penjimatan," katanya lagi.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada Isnin lalu mengumumkan kenaikan harga RON95 dan diesel sebanyak 20 sen, bagi memastikan sasaran kerajaan untuk mencapai defisit fiskal dalam lingkungan 3% berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2015 dan bajet berimbang menjelang 2020.
Langkah tersebut mendapat sokongan pakar ekonomi yang menyifatkannya sebagai baik bagi menangani hutang kerajaan yang semakin meningkat, iaitu ketika ini berada pada paras 53.5% berbanding KDNK pada hujung tahun lepas.
Sejurus pengumuman, orang ramai bergegas dan memenuhi stesen minyak serta meluahkan rasa tidak puas hati mereka terhadap langkah kerajaan tersebut.
Pemimpin pembangkang Pakatan Rakyat sebaliknya menggesa supaya Putrajaya memotong subsidi korporat terlebih dahulu.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar juga menjangkakan kadar inflasi Malaysia dijangka meningkat kepada 2.3% tahun ini selepas kenaikan harga minyak berkuatkuasa.
Kali terakhir minyak petrol RON95 dan diesel dinaikkan ialah pada 2010, sebanyak 5 sen seliter
Tiada ulasan:
Catat Ulasan