Selasa, 17 September 2013

Perkasa nilai semula program pemerkasaan Bumiputera hari ini

OLEH HASBULLAH AWANG CHIK


















Program pemerkasaan ekonomi Bumiputera yang diumumkan Datuk Seri Najib Razak di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam pada Sabtu akan dinilai semula oleh Persatuan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) hari ini.

Pengerusinya, Datuk Ibrahim Ali (gambar), berkata wacana yang diadakan hari ini adalah untuk memperhalusi dan memperincikan lagi cadangan Perkasa yang diterima Perdana Menteri melalui pengumumannya tempoh hari.

"Kami juga akan menilai apa cadangan Perkasa yang tidak disebut Najib seperti perolehan kerajaan, kontraktor kecil Bumiputera serta faedah yang akan diterima oleh petani dan nelayan. Perkasa akan menilai sejauh mana peranan yang dapat dimainkan melalui dasar yang diumumkan Najib.

 "Perkasa mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana kebanyakan usul yang dicadangkan kami diterima beliau. Usul terpenting adalah menjadikan agenda memperkasakan Bumiputera sebagai agenda nasional.

"Inilah yang diperjuangkan Perkasa sejak tiga tahun lalu selari dengan resolusi Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu menggesa hak majoriti dan kaum asal dipertahankan," katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Beliau berkata, dengan tertegaknya ekonomi Bumiputera, keamanan dan kestabilan ekonomi negara dapat dipelihara serta usaha berkenaan turut memperlihat kesungguhan Najib dalam memelihara kepentingan Melayu dan Bumiputera sebagai agenda nasional.

Katanya, Perkasa sudah lama mempertahankan apa yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan tetapi banyak pihak menuduh pertubuhan tersebut sebagai rasis.

"Antara cadangan lain Perkasa yang diterima Najib ialah mewujudkan unit pembangunan Bumiputera di kementerian dan mewujudkan KPI kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi memelihara kepentingan Bumiputera," katanya.

Perdana Menteri pada Sabtu mengumumkan program Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera yang menggariskan lima teras iaitu meningkatkan daya modal insan, memantapkan ekuiti Bumiputera dalam sektor korporat, mengukuhkan aset bukan kewangan, memperhebat keusahawanan dan memantapkan ekosistem penyampaian kerajaan terhadap golongan Bumiputera.

Antara sektor yang mendapat perhatian Najib seperti memperkenalkan Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB2) dengan menambah 10 bilion unit, dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) mendapat peruntukan menyediakan pinjaman sebanyak RM300 juta untuk lima tahun.

Selain itu, Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) mendapat peruntukan tambahan sebanyak RM700 juta bagi meningkatkan jumlah peminjam kepada 370,000 orang menjelang 2015 serta Skim Usahawan Baru Bumiputera (Superb) memperuntukkan RM100 juta dalam masa tiga tahun dengan geran RM500,000 kepada usahawan baru yang kreatif, berinovasi dan mempunyai potensi untuk masa depan.

Najib menggesa kaum bukan Bumiputera supaya tidak memberi tanggapan negatif terhadap pemerkasaan ekonomi Bumiputera kerana menurutnya program ini bukanlah jalan pintas, mengambil hak atau menafikan milik sesiapa.

Katanya, kerajaan melakukan perkara yang adil dan betul serta tidak bersikap prejudis kepada kaum lain dengan mengagihkan kekayaan negara secara saksama.

"Orang Melayu jangan bimbang, survival Melayu tetap menjadi kutamaaan selagi hayat dikandung badan," katanya

Tiada ulasan: