Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) akan mengemukakan memorandum khas kepada Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB) dalam tempoh tiga bulan akan datang bagi memantapkan lagi inisiatif pemerkasaan ekonomi Bumiputera.

Presidenya, Datuk Ibrahim Ali berkata antara cadangan yang akan dikemukakan dalam memorandum itu adalah mewujudkan Permodalan Nasional Berhad ke-2 (PNB ke-2) bagi memantau perniagaan bukan teras.

perkasa charter interfaith council 260713 ibrahim ali"Penubuhan PNB ke-2 dapat memperkasakan perubahan penawaran berubah dan nilai tambah, contohnya kepada kontraktor Bumiputera yang mempunyai masalah mendapatkan bekalan yang besar," katanya pada sesi Wacana Memperkasakan Ekonomi Bumiputera Pasca Pengumuman Kerajaan di Kuala Lumpur, hari ini.

Sabtu lalu, kerajaan mengumumkan langkah dan strategi terbaharu memperkasakan ekonomi Bumiputera, berpayungkan MEB yang akan ditubuhkan tidak lama lagi, dipengerusikan sendiri oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

MEB akan menggantikan Majlis Tindakan Agenda Bumiputera (MTAB) dalam melaksanakan lima strategi utama sebagai kelangsungan implementasi agenda pemerkasaan ekonomi Bumiputera.

Lima strategi itu meliputi mendaya modal insan, memantapkan pemilikan ekuiti dalam sektor korporat, memperkukuh pemilikan aset bukan kewangan, memperhebat keusahawanan dan perniagaan serta memantapkan ekosistem penyampaian perkhidmatan.

Ibrahim berkata Perkasa juga bercadang untuk menubuhkan sebuah unit pemantau bagi tujuan memastikan kesemua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan di samping mengelak berlaku ketirisan.

"Bagi tujuan itu kelak, usahawan persendirian mahupun syarikat bumiputera yang berurusan dengan GLC dan tidak mendapat layanan baik diminta melaporkan kepada Perkasa untuk tindakan lanjut," katanya.

Dalam pada itu, Ibrahim turut meminta semua pihak terutamanya parti politik agar tidak melemparkan tuduhan terhadap kerajaan yang kononnya bersikap tidak adil dengan agenda memperkasa ekonomi Bumiputera kerana ia adalah sebahagian daripada agenda nasional.- Bernama