SHAH ALAM – Penyerahan Operasi dan penguatkuasaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilihat mengelirukan rakyat.
Penasihat Undang-Undang Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (Kase), Zulhazmi Shariff berkata, pertukaran pengurusan AES itu, bukan jalan penyelesaian kepada isu ini.

Menurutnya, rakyat akan keliru sama ada perlu melunaskan saman di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) atau di balai polis.

“Ini akan menyebabkan, pemandu berkira-kira untuk membayar saman mereka.

"Tetapi jika mereka bayar pula, adakah duit itu akan diambil semua  PDRM ataupun dua syarikat iaitu Beta Tegap Sdn Bhd dan ATES Sdn Bhd masih mendapat pembayaran saman itu,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengenai Operasi dan penguatkuasaan AES dikendalikan PDRM, berkuat kuasa serta merta di semua lokasi AES sedia ada.

Zulhazmi turut mempersoalkan mengapa kedudukan dua syarikat itu tidak dinyatakan dalam penyerahan dan adakah syarikat terbabit masih terlibat atau AES diambil alih sepenuhnya oleh kerajaan.

“Jika benar perlaksanaan AES diambil alih sepenuhnya kerajaan, berapa wang pampasan diberikan kepada dua syarikat yang telah membelanjakan lebih kurang RM717 juta ketika waktu permulaan AES mahu dilaksanakan untuk tempoh lima tahun.

Justeru katanya, bagi tempoh lima tahun konsesi dan melalui model kewangan  dipersetujui kerajaan, kedua-dua syarikat itu akan memperoleh RM3,848 juta iaitu RM769.6 juta setahun.

Beliau turut menggesa kerajaan mendedahkan butiran perjanjian AES itu supaya pengguna tidak lagi keliru dalam isu AES ini.