Khamis, 19 September 2013

Pemerkasaan ekonomi untuk raih sokongan Melayu

Hazayani Zakaria,


KUALA LUMPUR: Rancangan Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera disifatkan sebagai ulangan janji pemimpin Umno BN untuk meraih kembali sokongan orang Melayu.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Mazlan Aliman berkata, pempimpin Umno BN sedar mereka sangat bergantung kepada undi orang Melayu hingga terpaksa mencari jalan mengekalkan sokongan mereka yang dilihat semakin merosot.

"Pengumuman Perdana Menteri itu mengulangi iltizam pemimpin BN khususnya Umno yang mengemudi kerajaan daripada Perdana Menteri dulu sampai sekarang.

"Ia merupakan retorik daripada pemimpin Umno untuk mengekalkan sokongan terutama orang Melayu yang hari ini mereka nampak sangat bergantung kepada undi Melayu," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Mengkhususkan kepada dua strategi iaitu memantapkan pemilikan ekuiti bumiputera dalam sektor korporat dan memperkukuhkan pemilikan aset bukan kewangan bumiputera, Mazlan berkata ekuiti bumiputera tidak pernah meningkat sebaliknya menurun sejak Dasar Ekonomi Baru (DEB) dilaksanakan.

"Ekuiti Bumiputera tidak pernah melonjak bahkan pada beberapa ketika menurun. Dasar Ekonomi Baru mensasarkan 30 peratus penyertaan Bumiputera dalam ekonomi negara, namun selepas DEB tamat pada 1990, ekuiti Bumiputera tidak pun mencecah 20 peratus. Sebaliknya daripada RM54 bilion pegangan saham Bumiputera di Bursa Malaysia, jumlahnya hanya tinggal RM2 bilion pada 2010. Ke mana hilang RM52 bilion lagi?" katanya.

Menurut beliau, jika benar kerajaan berazam membantu bumiputera, mereka tidak akan membiarkan projek Rapid di Pengerang, Johor diteruskan kerana ia melibatkan tanah dan kampung tradisi orang Melayu.

"Kalau mereka benar-benar iltizam untuk membantu orang Melayu terutama isu yang menyangkut soal pembangunan di Pengerang secara mudahnya adakah ia mengangkat martabat ekonomi orang Melayu bila projek berjumlah RM60 bilion menjahanamkan tanah-tanah orang Melayu, perkampungan orang Melayu, orang Melayu yang ditindas?

"Bahkan mereka yang menerajui projek ekonomi itu bukan Melayu. Di mana letaknya orang Melayu akan mendapat manfaat daripada pembangunan di sesuatu tempat?

"Ini didedahkan sendiri oleh Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Datuk Syed Ali Alattas bagaimana Pembangunan Wilayah Iskandar di Johor, 80 peratus dimiliki oleh syarikat asing manakala tanah orang Melayu lenyap," katanya.

Menyentuh mengenai Melayu Pulau Pinang yang terpinggir sewaktu di bawah BN, Mazlan berkata institusi-institusi hartanah seperti Pelaburan Hartanah Bhd (AHB), Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Perbadanan Usahawasan Nasional Bhd (PUNB) tidak memainkan peranan mereka untuk membantu bumiputera.

"Apa yang diungkapkan oleh Perdana Menteri tak lebih daripada satu retorik untuk menggambarkan bahawa Umno ini benar-benar prihatin kepada orang Melayu dengan lancar kempen-kempen untuk menolong orang Melayu tapi hakikatnya merekalah yang menjadi pengkhianat yang menjahanamkan harta orang Melayu.

"Melayu Pulau Pinang contohnya, apa guna ada Mara, Uda, PUNB, yang sepatutnya diperuntukkan untuk orang Melayu tapi tanah orang Melayu tergadai. Nak beli rumah pun kos rendah sahaja yang orang Melayu mampu sedangkan pemaju berlumba buat rumah kos mahal," katanya.

Lima strategi yang diumum Najib Sabtu lalu ialah mendaya modal insan bumiputera, memantapkan pemilikan ekuiti bumiputera dalam sektor korporat, memperkukuh pemilikan aset bukan kewangan bumiputera, memperhebatkan keusahawanan dan perniagaan bumiputera dan memantapkan ekosistem penyampaian perkhidmatan.

Tiada ulasan: