Khamis, 26 September 2013

Pakatan desak KeTHHA beri penjelasan kenaikan tarif elektrik

Oleh Hasbullah Awang Chik

















Ahli Parlimen Pakatan Rakyat (PR) menuntut penjelasan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) mengenai tarif elektrik yang dikhabarkan naik tahun hadapan dan mengapa Liquefied Natural Gas (LNG) menjual petrol pada harga lebih murah sementara rakyat perlu berdepan dengan kenaikan harga bahan bakar itu.

Dalam satu kenyataan bersama Sim Tze Tzin (Ahli Parlimen PKR-Bayan Baru), Dr Ong Kian Ming (DAP-Serdang) dan Dr Che Rosli Che Mat (PAS-Hulu Langat), berkata Pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Seri Azman Mohd ada mencadangkan kepada kerajaan untuk meningkatkan tarif elektrik kepada pengguna tempatan yang melebihi 200 kwh.

“PR mencadangkan perjanjian antara TNB dan Independent Power Producers (IPP) disemak semula kerana caj yang dikenakan IPP kepada TNB adalah keterlaluan kerana IPP mendapat subsidi LNG daripada Petronas yang membolehkannya mendapat margin keuntungan besar dengan struktur kos yang rendah.

 “Jika KeTHHA mengarahkan TNB mengadakan rundingan semula dengan IPP, kenaikan tarif elektrik mungkin dapat dielakkan. KeTHHA juga perlu menjelaskan situasi LNG menjual petrol pada harga murah kepada pengeluar IPP, tetapi kerajaan meningkatkan harga petrol yang dijual kepada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Ahli Parlimen PR itu berkata, sejak 1997, kerajaan memutuskan untuk menetapkan harga gas yang dijual kepada IPP iaitu harga pasaran LNG adalah RM49.12 per-juta BTU pada 2012 tetapi dijual pada harga RM10.70 kepada IPP.

Katanya, IPP mendapat diskaun 80 peratus berbanding harga pasaran LNG yang mengakibatkan kerajaan mengalami kehilangan pendapatan negara yang tinggi dan ia adalah salah satu bentuk subsidi kepada IPP.

“Mengikut pengiraan, jumlah subsidi ini adalah menakjubkan kerana mencecah RM19 billion setahun. Dalam Bajet 2014 rakyat ingin tahu mengapa kerajaan meningkatkan harga petrol rakyat, tetapi tidak untuk harga LNG?

Sustainable Energy Development Authority (SEDA) juga gagal menunjukkan hasil memberangsangkan kerana hanya 2 MW kuota feed-in-tariff sahaja yang dapat dibekalkan pada 2012 kepada pemegang individu dan sehingga Julai 2013, kuota feed-in-tariff yang dapat dibekalkan sebanyak 112.44 MW. Ini  jauh daripada sasaran 985 MW yang perlu dicapai dalam masa dua tahun lagi.

“Dengan prestasi SEDA yang sedemikian, PR meragui usaha kerajaan untuk meningkatkan feed-in-tariff tenaga boleh diperbaharui kepada dua peratus,” katanya.

Katanya, PR akan mengumumkan bajet alternatif 2014 pada Oktober untuk menandingi bajet BN dengan idea baru dalam portfolio KeTTHA.

Ahli parlimen berkenaan berkata, PR akan mengumumkan pembaharuan struktur belanjawan dan langkah memperbaiki fiskal bagi memastikan fiskal dan kualiti hidup rakyat lebih mapan.

Tiada ulasan: