Khamis, 26 September 2013

Pakatan bakal tawan Putrajaya, tidak perlu kerjasama BN, kata Mat Taib

Oleh Hasbullah Awang Chik

Aksi Tan Sri Muhammad Muhd Taib ketika ditemubual. Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli, 26 September, 2013. 

Aksi Tan Sri Muhammad Muhd Taib ketika ditemubual. Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli, 26 September, 2013.


Bekas Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib menyangkal pandangan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai kewujudan ruang kerjasama antara Umno dan PAS dengan menyatakan bahawa gabungan kerjasama itu tidak perlu kerana Pakatan Rakyat mempunyai peluang terbuka luas menubuhkan kerajaan persekutuan pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) kelak.

Muhammad berkata, parti komponen PR sepatutnya bersedia mengukuhkan parti untuk membentuk kerajaan dan jangan menerima agenda tersembunyi Barisan Nasional (BN) bagi menjalinkan kerjasama.

 “Jangan ada agenda untuk menyelit ke sana dan ke sini. Nanti rakyat yang menjadi mangsa. PR harus berusaha sebaik mungkin memberi alternatif kepada rakyat. Apa jua kelemahan BN, jangan diulang.

“Jika BN menjadi pilihan dan mendengar suara rakyat, mengapa mereka mahu bekerjasama dengan pihak menentang untuk berunding bersama kerajaan? Jika BN bagus, berdiri atas kaki sendiri, melainkan jika mereka memang sudah ditolak.

“Kalau tidak bagus, hendak menang dan berkuasa, kenalah main tipu. Pakat dengan penjaga gol lawan dan suruh lepaskan bola. Tendang dari jauh pun boleh masuk. Dalam arena politik, kita tidak mahu wujudkan orang yang mengekalkan kuasa. Umno sudah lama mengekalkan kuasa hampir 60 tahun,” katanya dalam satu wawancara eksklusif bersamaThe Malaysian Insider di Shah Alam, Selangor.

Beliau yang mesra dengan nama timangannya Mat Taib berkata, atas dasar BN yang mahu mengekalkan kuasa, rakyat menanggung kerugian jika rundingan berkenaan menemui kegagalan.

Sambil menggesa parti dalam PR mengukuhkan kepimpinan untuk menawan Putrajaya pada PRU14, beliau berkata, BN dan PR harus memilih jalan berbeza.

“BN yang ingin mengekalkan kuasa, tetapi rakyat yang menanggung rugi. Pandangan saya, biar BN dengan cara mereka sendiri dan PR mesti bersatu sebagaimana sebelum ini. Saya yakin PRU14 mereka tawan Putrajaya.

“Tiada apa yang salah kerana di Australia, rakyat mereka kerap bertukar kerajaan. Selepas dua penggal, kerajaan yang mentadbir akan ditukar kerana selama tempoh berkenaan mereka sudah mula ‘berakar’. Bahaya biarkan sesebuah kerajaan untuk terus berakar.

“Apatah lagi Umno sudah 60 tahun, bukan berakar tetapi sudah berkabel. Kabel yang sangat besar. Umno hanya menguntungkan pihak tertentu tetapi kebajikan rakyat tidak dijaga. Sepatutnya lepas dua penggal kita tukar kerajaan, supaya pimpinan lebih segar,” katanya dengan nada tegas.

Bekas Menteri Besar Selangor itu berkata, rakyat perlu mendapat faedah maksimum daripada sesebuah kerajaan dan bukan hanya berfikir untuk terus mengekalkan kuasa.

Muhammad menyertai PAS dua hari selepas hari penamaan calon Pilihan Raya Umum 2013 lalu.

The Malaysian Insider melaporkan sebelum ini, Muhyiddin berkata, BN tidak mempunyai masalah untuk bekerjasama dengan PAS kerana pati komponen BN itu sentiasa terbuka mengambil apa jua langkah termasuk mengadakan perbincangan bersama PAS bagi tujuan menyatupadukan umat Islam.

"Kita tidak kisah bekerja bersama PAS atau Pakatan sekiranya ia demi kepentingan umat Islam di negara ini dan kita yakin sekiranya Umno bekerjasama dengan PAS banyak yang dapat dicapai," katanya.

Sementara itu, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, berkata PAS sedia bekerjasama dengan Umno termasuk berdialog bagi membincangkan pelbagai isu jika parti itu dipelawa kerajaan.

Katanya, PAS boleh berbincang mengenai apa sahaja isu dan sejarah membuktikan pemimpin PAS dan Umno boleh berada bersama di atas satu pentas.

Beliau berkata, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas Presiden PAS, Allahyarham Datuk Fadzil Noor pernah bersama dalam satu forum suatu ketika dahulu.

Abdul Hadi berkata, jika perbincangan itu melibatkan soal Islam, PAS akan berpegang kepada dasarnya iaitu berlandaskan al-Quran, hadis, ijmak ulama dan qiyas.

Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya, Universiti Malaya (UMCEDEL) turut mendapati majoriti masyarakat Melayu dan Cina mahu melihat pentadbiran kerajaan BN menjalinkan kesepakatan dengan PR selepas  pilihan raya umum baru-baru ini.

Hasil kajian itu menunjukkan 69 peratus daripada keseluruhan 1,546 orang responden yang ditemui oleh pengkaji pilihan raya tersebut mahu melihat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melibatkan PR dalam kerajaan persekutuan.

Pengarahnya, Profesor Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman dalam pembentangannya berkata lebih mengejutkan, sebanyak 70 peratus responden Melayu bersetuju dengan hasrat untuk melihat kerjasama BN dan PR, manakala 67 peratus lain adalah kaum Cina, hasil daripada kajian yang dijalankan dari 15 Ogos hingga 10 September baru-baru ini.

Bagaimanapun, Mohammad Redzuan menekankan langkah kerjasama tersebut tidak boleh hanya terarah kepada satu parti dalam PR sahaja, sebaliknya BN perlu menjalin hubungan dengan PKR dan juga DAP.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim, berkata BN sedia mengadakan perbincangan mengenai perpaduan nasional dengan PR, namun menggesa pembangkang mengamalkan "baik sangka" terhadap BN.

Shahidan yang juga menteri bertanggungjawab terhadap Parlimen berkata PR boleh membawa usul berkenaan ke Parlimen sekiranya mereka ikhlas dengan perkara itu.

Tiada ulasan: