Khamis, 5 September 2013

Pak Samad tidak kisah tarik balik gelaran SN

Hazayani Zakaria,
 
KUALA LUMPUR: Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said tidak kisah jika kerajaan bertindak menarik balik gelaran Sasterawan Negara yang diterimanya pada tahun 1985.

"Jawapan bapak mudah sahaja. Bapak alu-alukan. Sekiranya mereka (kerajaan) mahu berbuat demikian teruskan dan bapak ucap terima kasih," katanya ketika dihubungi Harakadahdaily hari ini.

Beliau yang juga dikenali sebagai Pak Samad berkata demikian sebagai memberi respons terhadap kenyataan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang tidak menolak kemungkinan gelaran tersebut ditarik balik.

Desakan itu timbul ekoran Pak Samad dikatakan terlibat dalam insiden pengibaran Bendera Sanga Saka Negara di Dataran Merdeka pada malam ambang kemerdekaan Jumaat lalu.

Pak Samad atau nama sebenarnya Abdul Samad Muhammad Said dianugerahkan Sasterawan Negara pada 1985 atas sumbangan beliau memperkaya dan memartabatkan kesusasteraan Melayu.

Kenyataan Shabery itu turut mengundang respons Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau menyifatkan kenyataan itu sebagai melampau dan menafikan sumbangan Pak Samad dalam bidang kesusasteraan negara.

“Apakah kerajaan boleh menidakkan sumbangan Pak Samad memperkaya dan memartabatkan kesusasteraan Melayu hanya kerana apa yang diperjuangkan Pak Samad kini tidak mesra kerajaan?” katanya.

Tambah beliau juga, ketokohan dan keberanian Pak Samad pada usianya yang lanjut untuk melawan kemungkaran dalam sistem pilihanraya melalui Bersih telah menjadi inspirasi kepada rakyat Malaysia dan generasi muda.

Sementara itu, ditanya keadaan Pak Samad ketika ini, beliau dengan suara yang ceria berkata 'bapak Alhamdulillah sihat'.

"Bapak masih di Masjid Negara. Siapa-siapa mahu mencari bapak, boleh sahaja ke sini," katanya.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar hari ini dilaporkan mendakwa Pak Samad bersembunyi dan pulang ke rumahnya di Bangsar secara senyap-senyap sehingga memaksa polis menangkapnya pada lewat pagi.

Pak Samad bagaimanapun menafikan perkara itu sebaliknya berkata beliau hanya berada di rumah sebelum bersiar-siar di sekitar Bangsar dan minum teh di kedai mamak berhampiran rumahnya.

Tiada ulasan: