Muhammad Faizal, |
KUALA LUMPUR: Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) akan membuat satu laporan polis pada 30 September nanti berhubung dakwaan terdapat pujukan daripada pihak pengurusan Felda agar peneroka memajak tanah milih mereka.
Presidennya Mazlan Aliman berkata, maklumat tersebut diperolehi daripada peneroka dan anak mereka.
Katanya, usaha tersebut sudah pun berada pada peringkat memberi taklimat kepada peneroka tentang kebaikan dan keuntungan yang mereka akan perolehi.
Katanya lagi, tindakan itu menimbulkan tanda tanya tentang tawaran yang akan diberikan kepada peneroka memandangkan tempoh pajakan adalah selama 30 tahun.
"Saya cukup bimbang dengan tawaran yang berlaku sekarang iaitu memujuk peneroka agar memajak tanah milik mereka dalam tempoh 30 tahun.
"Walaupun tiada dokumen yang sah kita perolehi tetapi tindakan ini merupakan satu usaha yang tidak sepatutnya berlaku dan saya harap pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan atas laporan yang akan kita lakukan nanti," jelasnya pada sidang media di Pejabat Agung PAS, di sini. Hadir sama ialah pakar ekonomi, Dr Rosli Yaakop dan peguam Haris Abdullah.
Tambah beliau, usaha tersebut telah berlaku dan taklimat itu dilakukan oleh di Dewan JKK, Felda Kemahang 1.
"Mereka menawarkan kepada peneroka dalam bentuk wang tunai bayaran sekaligus RM500,000 sekiranya peneroka bersetuju memajak tanah mereka sepuluh ekar untuk tempoh 30 tahun.
"Cara pambayarannya adalah setiap bulan iaitu sebanyak RM5,000 sepanjang tempoh pajakan, kemudian dalam bentuk wang tunai RM500,000 diberikan mengikut pecahan iaitu RM100,000 dibayar kepada peneroka, RM150,000 dimasukkan ke dalam Koperasi Permodalan Felda (KPF), manakala selebihnya digunakan untuk pengurusan peneroka sepanjang tempoh 30 tahun.
"Saya juga mendapat maklumat taklimat turut berlaku di Felda Sungai Tengi dan juga di Felda Teloi Timur, maklum balas mengatakan sebahagian peneroka bersetuju untuk menyerta tawaran ini," jelas beliau.
Mazlan juga mendesak agar Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad dan juga Pengarah Besar Felda Datuk Faizoull Ahmad memberikan penjelasan mengenai dakwaan tawaran dibuat oleh pentadbiran Felda.
"Kita minta penjelasan dari mereka untuk tampil menjelaskan tentang tawaran yang dibuat, kita tidak ada bukti kukuh tetapi segala maklumat tersebut diperolehi daripada peneroka sendiri.
"Usaha ini menggambarkan keadaan terdesak kewangan Felda dan kalau benar ini berlaku yang mana mereka menjana kewangan dengan memajak tanah peneroka itu merupakan satu yang malang untuk seluruh peneroka yang bakal kehilangan tanah mereka.
"Kita akan mengumpulkan bukti setiap dakwaan tersebut dan satu tindakan yang tegas perlu diambil agar nasib peneroka terus terbela dan bukannya dijadikan mangsa,” katanya.
Jelasnya, Anak akan mengadakan jelajah memberi penerangan kepada peneroka tentang muslihat di sebalik tawaran tersebut pada bulan Oktober nanti yang akan bermula di Jengka, Pahang.
Sementara itu, peguam Haris Abdullah meminta agar peneroka berfikir sebelum bersetuju dengan tawaran tersebut.
Jelasnya, peneroka bakal kehilangan tanah apabila Felda gagal melunaskan pinjaman pajakan mereka setelah tamat tempoh tersebut yang membenarkan tanah tersebut dilelong.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan