Rabu, 18 September 2013

Orang politik jadi duta, pegawai PTD dipinggir

Muhammad Faizal,


KUALA LUMPUR: PAS menyifatkan tindakan kerajaan melantik individu dari kalangan ahli politik sebagai duta sebagai satu fenomena yang tidak sihat.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata, tindakan tersebut tentunya telah menyekat peluang mereka yang telah berkhidmat di dalam kerajaan khususnya dari kalangan Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) yang lenih layak untuk jawatan tersebut.

"Saya melihat ini satu keputusan ataupun fenomena yang tidak sihat berlaku dalam pentadbiran yang ada sekarang.

"Lantikan mereka dari kalangan politik akan menyekat peluang mereka yang telah lama berkhidmat, dan ini secara tidak langsung menyekat motivasi mereka yang mempunyai kelayakan untuk memegang jawatan sebagai duta," jelasnya kepada Harakahdaily.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kecenderungan kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) ini yang melantik bukan dari golongan PTD sebagai duta.

Kerajaan sebelum ini melantik bekas Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia.

Selain itu, bekas Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Ismail Omar juga dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke Perancis yang baharu.

Mengulas lanjut, Salahuddin berkata, sepatutnya orang politik menumpukan kepada kerja-kerja mereka sahaja dan kerajaan wajar melantik individu yang berkelayakan untuk jawatan tersebut.

"Saya melihat di dalam pentadbiran kerajaan sekarang lebih ramai yang layak untuk dilantik sebagai duta, dan mereka tahu apa yang perlu dilakukan untuk menjaga nama baik negara ini.

"Apabila orang politik memegang jawatan tersebut saya tak pasti adakah ia mencapai matlamat yang ditetapkan oleh polisi kerajaan terutamanya dalam menjaga hubungan baik kedua-dua buah negara," sambung beliau.

Jelas Salahuddin, ramai mengaaggap bahawa perlantikan duta dari kalangan orang politik sebagai tindakan "membalas budi" individu tersebut dan bukan atas faktor kelayakan.

Tindakan itu juga kata Salahuddin dilihat seperti cuba untuk mempolitikkan kesemua jabatan yang ada di dalam kerajaan.

Tiada ulasan: