Rabu, 18 September 2013

Ong Kian Ming kecam laporan putar belit Utusan Malaysia

dr.ong kian ming-IMG_8843 (1)


KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen DAP Serdang, Dr Ong Kian Ming mengecam tindakan tidak bertanggungjawab Utusan Malaysia yang sengaja mengelirukan pembaca dengan berita kononnya beliau mengakui bahawa tidak wujud pengundi asing dan gangguan bekalan elektrik pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) lalu.

Kian Ming berkata demikian merujuk kepada artikel Utusan Malaysia hari ini yang bertajuk ‘Penipuan Pembangkang didedah’, dipetik daripada artikel laman berita bebas Free Malaysia Today (FMT) bertarikh 15 September bertajuk ‘DAP man concurs Pemantau’s findings of no foreign voters, blackouts’.

“Dalam Utusan Malaysia hari ini, kata-kata saya  digunakan – ‘Setakat yang saya tahu, tidak ada pengundi asing (warga Bangladesh) atau gangguan bekalan elektrik. Jadi saya bersetuju dengan pandangan mereka (Pemantau)’.

“Bagaimanapun, Utusan Malaysia gagal memberi ruang kepada satu penjelasan penting dalam artikel FMT bahawa komen saya mengenai pengundi asing adalah terhad kepada kawasan Parlimen saya sendiri iaitu Serdang dan komen saya mengenai gangguan bekalan elektrik hanya terhad kepada kawasan Parlimen Bentong.

“Ini jelas merupakan satu lagi contoh kewartawanan tidak bertangggungjawab yang sentiasa diamalkan Utusan Malaysia. Tidak hairanlah pengedaran Utusan Malaysia jatuh dengan begitu serius sehingga perlu bergantung kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk memasarkan ‘surat khabarnya’ kepada GLC bagi tujuan menambah jualan iklan,” tempelaknya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya lagi, dengan tidak menggunakan penjelasan ini, Utusan Malaysia sengaja mengelirukan pembaca dengan memberi gambaran bahawa kenyataan saya merujukkan kepada ketidakadanya pengundi asing dan gangguan bekalan elektrik di seluruh negara.

“Saya tidak bersetuju dengan pandangan dan gambaran ini kerana saya tidak mempunyai akses kepada semua maklumat untuk semua kawasan pilihan raya di seluruh negara.

“Saya sedang menunggu bukti atau maklumat selanjutnya mengenai pengundi asing dan gangguan bekalan elektrik yang mungkin didedahkan ketika  Tribunal Rakyat yang dianjurkan Bersih yang akan bermula  minggu ini,” ujarnya. – Roketkini.com

Tiada ulasan: