Khamis, 19 September 2013

Nyawa Rakyat Malaysia Murah Berbanding Australia ?




 DETIK DAILY
 
Tepat jam 12 tengah hari, deruman lebih 100 motosikal menyebabkan wawancara selepas kira-kira 45 minit berlangsung terhenti. Mereka bertshirt seragam dengan logo 1Malaysia sengaja menekan minyak untuk provokasi kumpulan anti-Lynas yang berkumpul persimpangan lampu isyarat dekat Dataran Merdeka

Inilah cara Kerajaan Umno-BN mengalihkan semangat patriotik kepada acara tidak berfaedah dan ala samseng Mat Rempit ketika isu penting menyentuh kelestarian alam sekitar langsung tidak dipedulikan.

Ikuti harapan Pengerusi Himpunan Hijau, Wong Tack mengenai kempen menghentikan operasi kilang nadir bumi Lynas Malaysia Sdn. Bhd. (Lynas) bersama wartawan Harakah, ARIF ATAN di lokasi tersebut, 5 September lalu.

WARTAWAN: Bagaimana perkembangan "Kempen Kuburkan Lynas dengan Satu Juta Tandatangan"?


WONG TACK: Sejak 1 Ogos lepas, kita dah dapat 600,000 tandatangan. Kalau kita dapat kumpul sejuta tandatangan dalam tempoh 100 hari, itu suatu rekod dunia. Tidak pernah lagi rasanya ada organisasi massa lakukan kempen dalam tempoh pendek. Kita bermula dari sifar dan hanya dalam masa sebulan sudah boleh kutip 600,000 tandatangan.

Kita tahu kesedaran rakyat tentang ancaman projek Lynas di Kuantan, Pahang semakin meningkat. Kempen ini unik. Lain daripada bentuk kempen yang lain. Komuniti yang banyak bantu lancarkan hebahan kempen bukannya seratus peratus dilakukan organisasi iaitu Himpunan Hijau.

Dari kampung yang kecil sampai ke pekan dan bandar, anggota masyarakat yang menggerakkan kempen ini. Apa saja yang mampu, mereka buat. Ada yang buat poster sebar di laman sosial. Ada yang muat turun poster kempen. Ada yang edar risalah di pasar malam.

Kempen kita tidak guna dana besar. Dalam laman web kempen ini (www. himpunan-hijau.com) orang ramai sendiri yang sukarela letakkan info dan poster. Borang untuk kutip tandatangan pun mereka buat sendiri.

Ini kempen rakyat. Penggeraknya daripada rakyat dan hasilnya juga demi kesejahteraan rakyat. Ini kempen akar umbi. Rakyat patut rasa bangga kerana semuanya datang daripada usaha mereka. Saya harap kita dapat kutip sejuta tandatangan untuk diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong (Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah) nanti.

Apa tujuan aktivis anti-Lynas berpayung di simpang jalan utama depan Bangunan Sultan Abdul Samad yang tidak jauh dari bangunan DBKL ini?

Kami "berkampung" di sini sudah masuk hari ke-13. Lokasi ini bagus sebab jadi tumpuan orang ramai. Mudah untuk mereka dapat penjelasan dan akhirnya turunkan tandatangan sebagai bukti sokong usaha kita bersama selamatkan tanahair ini. Kita faham tindakan ini tanpa dapat kebenaran DBKL. Kita pun tidak mahu susahkan DBKL. Kita hanya sediakan payung, meja dan beberapa kerusi di sini. Bila hujan saja kita buka payung. Terpaksa. Itu pilihan yang ada.

Kita bukan mahu lawan DBKL. Kita ingin bangkitkan kesedaran rakyat lawan projek Lynas. Itu saja. Kita mahu hentikan ancaman besar yang akan menimpa kalau hari ini kita cuai dan biarkan saja.

Apa mesej penting kempen ini?


Rakyat seluruh negara bukan sahaja penduduk sekitar Kuantan tidak kira umur mesti sedar ancaman radioaktif dari kilang Lynas itu. Kempen ini juga sebenarnya bila kita berjaya, satu mesej yang kuat untuk turut didengari warga dunia supaya mereka tahu seluruh rakyat Malaysia berbilang kaum sepakat tolak projek Lynas.

Bahkan, apa-apa saja industri yang mengancam alam sekitar dan kesihatan anak cucu kita, patut dilawan. Apa yang kita mahu Malaysia mesti menuju kepada praktik "ekonomi hijau", sihat dan lestari. Keuntungan bukan untuk generasi hari ini sahaja tapi untuk anak cucu kita.

Menarik apabila saudara menyebut pentingnya aspek "ekonomi hijau" ...

Ya sebab Malaysia ini negara yang sudah Tuhan beri anugerah alam semulajadi yang indah. Faktor iklim dan segala unsur alam ini boleh dimanfaatkan untuk membangunkan ekonomi hijau. Tuhan berikan tanahair kita alam semulajadi indah. Semua ini sangat mahal nilainya untuk kita tuang racun. Bumi ini juga subur untuk dimusnahkan radioaktif. Hormati hak generasi depan.

Cahaya matahari di tanah air kita sepanjang tahun. Tiada perubahan cuaca ekstrem seperti negara yang alami empat musim. Kita ada sungai dari gunung dan bukit yang menjana tenaga. Kita ada semua sumber alam semulajadi yang boleh dibangunkan secara baik tanpa merosakkannya.

Sekarang, seluruh dunia sedang menuju ke arah ekonomi hijau. Malaysia boleh maju dalam bidang ini. Kita mesti manfaatkan kelebihan alam kita ini termasuklah negeri seperti Sabah dan Sarawak. Semua itu anugerah dari Tuhan. Jadi, di sinilah tanggungjawab untuk kita melindunginya supaya anak cucu kita terus dapat menikmatinya.

Ada mendakwa kumpulan anti-Lynas ini merupakan perjuangan kaum Tionghua sahaja?

Banyak pihak anggap ini kempen orang Cina. Tapi itu tidak betul. Lihat saja tapak kilang Lynas. Letaknya di Gebeng. Itu kawasan perkampungan nelayan yang majoritinya orang Melayu. Tapi kita sedar isu bencana kepada alam sekitar tak pilih kaum apa.

Ini isu serius. Isu kemanusiaan. Bukan Cina takut mati tapi biarlah kita mati bukan sebab kita sendiri yang jemput kematian. Kesan radioaktif akibat operasi kilang Lynas itu nanti kena pada semua jika untuk hal ini pun kita masih pandang dari sudut kaum.

Kita harap informasi betul sampai kepada masyarakat Melayu kerana ini bukan isu perkauman tapi kemanusiaan. Isu Lynas juga bukan emosional. Kita tuntut ambil tindakan tegas atas pertimbangan rasional. Tidak ada siapa terkecuali dengan ancaman radiasi. Lagi dahsyat, bukan kena pada generasi sekarang saja tapi buat selama-lamanya sebab hayat radioaktif ini panjang. Tanahair kita akan punah dirosakkan kesan radioaktif.

Cumanya, kami akui isu ini lebih ramai tarik perhatian masyarakat Cina kerana faktor akses kepada maklumat. Suka atau tidak, kita terpaksa akui kurangnya orang Melayu dalam usaha bantah kilang Lynas ini sebab maklumat dikawal lalu tak sampai.

Tapi selepas dua tahun kempen, nampaknya semakin ramai orang Melayu sedar. Pada Hari Merdeka lalu contohnya, lebih 5,000 orang Melayu sudi tandatangan sokong kempen ini.

Mereka sendiri datang tandatangan kerana tahu tanggungjawab pelihara alam ini perlukan semua orang ambil peranan masing-masing. Penyerahan sejuta tandatangan itu nanti simbolik buat seluruh rakyat membantah operasi kilang yang hanya akan menyumbat kita semua ke "neraka" dunia.

Kita harap seluruh rakyat akan turun serahkan deretan tandatangan itu pada tarikh yang akan diumumkan nanti supaya nampak nilai solidaritinya. Tindakan itu suatu cara baik untuk kita sampaikan perasaan rakyat kepada Agong.

Sepanjang kempen ini berjalan, macam mana reaksi orang ramai?

Ada suatu ketika Hari Merdeka, kami yang berkempen di sini didatangi Melayu usia dalam 50-an. Katanya, dia berpendidikan dari luar negara. Tengok cara dia cakap Inggeris nampaknya betullah agaknya. Dia mengaku, "Saya pro-Lynas. Apa masalahnya?" Saya ajak dia duduk. Bagi penjelasan secara baik kepadanya. Saya kemukakan gambar-gambar tragedi kesan radioaktif di Bukit Merah.

Dia tanya, "Berapa kanak-kanak yang mati?" Saya jawab, "Di kampung yang kecil ini, 11 budak mati sebab kena leukimia." Saya beritahu dia juga kadar penghidap kanser dan leukimia termasuk orang dewasa juga tinggi. Orang itu kata, "Jangan sebab beberapa budak mati kena hentikan pembangunan negara (projek Lynas)"

Saya tanya semula, "Anak encik ada berapa?". Jawabnya, ada lima. Saya kata, "Kalau seorang yang mati itu anak encik sendiri, apa perasaan encik? Tapi dia jawab, "Kalau kerajaan yang bagi kelulusan projek memang tidak bahaya."

Nampaknya, orang itu sudah seperti bertuhankan kerajaan. Dia nampak berpendidikan tapi cara fikirnya boleh begitu teruk begitu. Orang yang ada pendidikan tinggi tetapi hilang akal untuk bezakan mana yang benar, mana salah.

Lepas saya kata, "Memang kerajaan benarkan sebab menteri dan pegawai kanan kerajaan kena 'suap'. Dia jawab, "Oh, jangan sentuh isu politik". Pulak dah. Dia percaya 100 peratus apa saja projek yang kerajaan luluskan. Dia juga kata, "Mana ada kerajaan mahu susahkan rakyat".

Jadi inilah masalah yang kita hadapi. Maaf saya cakap, masih ramai orang Melayu tidak sedar kepincangan keputusan dan tindakan kerajaan yang tidak berintegriti sebab berjayanya program "cuci otak" sejak zaman Mahathir sampai sekarang.

Kalau Pak Samad (A Samad Said) sejak dua tahun lepas sedar bahaya ancaman kilang Lynas dengan mencipta beberapa sajak (antaranya, "Gebeng Yang Luka"), takkan generasi lebih muda daripada Sasterawan Negara itu bersikap tidak kisah.

Perkembangan aktiviti kilang Lynas?

Kilang itu masih lagi beroperasi ketika orang ramai masih tidak dibenarkan tengok segala dokumen tentang tapak pelupusan sisa Lynas. Setakat ini yang kita tahu dah 4,000 tan sisa beradiaoaktif ada di tapak kilang itu. Saya rasa amat kecewa dan sedih dengan kenyataan Ketua Pengarah Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB), Datuk Raja Abdul Aziz Raja Adnan yang masyarakat harapkan dapat jaga kesihatan dan keselamatan semua.

Lokasi tapak pembuangan kekal (Permanent Disposal Facility, PDF) sisa buangan industri itu tidak payah minta sekarang. Itu kenyataan yang langsung tidak bertanggungjawab! Mereka tolak tugas jaga alam hari ini kepada anak cucu kita.

AELB sendiri sudah langgar salah satu daripada tujuh syaratnya untuk dipenuhi oleh Lynas semasa syarikat itu dapat Lesen Operasi Sementara (TOL). Dia kata 40 tahun dari sekarang apabila Lynas mahu tutup baru kita bincang tentang tapak itu.

Maksudnya selepas ramai yang sakit atau meninggal dunia kerana kesan radioaktif itu baru mahu dikaji?
Masalahnya, kita pada masa itu termasuk dia kemungkinan besar tidak hidup lagi. Anak cucu kita yang akan tanggung akibatnya. Adakah kita mahu mereka kutuk kita yang tidak berbuat apa-apa dan halalkan saja tindakan yang mengancam keselamatan generasi akan datang? Lynas gagal beritahu kita lokasi dan butiran terperinci tentang PDF dalam pengendalian sisa-sisa beradioaktif yang dihasilkannya.

Tapi Kerajaan BN sebelum ini kata rakyat tidak perlu bimbang kerana projek ini telus dan tidak bahaya?

Apa yang dapat kita bimbang tentang syarat membawa pulang bahan buangan nadir bumi dapat dilihat pada surat Lynas bertarikh 23 Februari 2012. Amat mengejutkan. Kata surat itu, "sekiranya perlu" sisa radiaoaktif itu dibawa keluar. Hanya tiga baris jaminan longgar Lynas itu, menteri dan pihak berkaitan semua gembira.

Terus beritahu rakyat jangan risau lagi dengan operasi kilang Lynas kerana sisa radioaktif itu akan dibawa keluar dari Malaysia. Tetapi, Australia kata, "Kami tidak akan ambil balik" (sisa radioaktif) Jadi, negara mana yang mahu ambil kalau tidak ditimbun saja di negara ini!

Nampak tak lakonan mereka daripada syarat longgar Lynas itu? Sikap tegas kerajaan kononnya itu lakonan saja. Itu semua mahu tipu rakyat. Sandiwara mereka yang mahu nafikan kebenaran. Menteri kita buat bodoh dan percaya pada satu surat tiga baris itu. Lynas pun sudah dapat TOL walaupun bercanggah dengan ketetapan pihak Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).

Jadi, apa bahaya Lynas yang patut masyarakat tahu?

Dengan adanya kilang Lynas, Malaysia sekarang sudah ada kilang memproses bahan nadir bumi terbesar di dunia. Hebat, kan! Sedangkan sejarah bahana radioaktif sudah pun berlaku di negara kita pada 30 tahun lalu di Bukit Merah. Ramai mati dan bayi yang lahir cacat.

Sekarang di sana, langsung tidak ada pembangunan kerana ramai masih takut kesan buruknya yang masih ada. Penduduk di sana ditipu. Selepas 30 tahun, syarikat dari Jepun itu kembali ke Malaysia dengan pakai nama Lynas sebuah syarikat perlombongan dari Australia tapi subsidi dari Mitsubishi.

Mereka masuk sekali lagi. Inilah yang kita marah. Syarikat yang sama dengan 30 tahun lalu di Bukit Merah tetapi tidak ada apa-apa pengalaman dalam pengurusan sumber nadir bumi tetapi pelaburan Jepun itu balik semula ke Malaysia melalui pintu lain. Ini yang patut kita tentang.

Sejauh 5,000 kilometer, Australia hantar bahan mentah itu ke negara kita. Nadir bumi Lynas diimport dari Australia tetapi segala sisa radioaktif akan dibuang di negara kita! Kita punya nyawa sekarang, dah terlalu murahkah kalau nak dibandingkan nyawa orang Australia?

Sudah merdeka 56 tahun masih kita dijajah secara ekonomi? Kerajaan BN bagi Lynas 12 tahun bebas cukai. Malaysia tidak akan dapat satu sen pun walaupun margin keuntungan kasar boleh capai 75 peratus.

Lynas tak payah bayar cukai tetapi kerajaan cakap Lynas akan menyumbang satu peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Macam mana tu sebab sumbangan Lynas kepada ekonomi kita amat terhad. Ramai tak tahu belanja utama Lynas adalah bijih nadir bumi yang diimport dari Australia. Lynas pun hanya sediakan 350 peluang kerja baru.

Soal kononnya Lynas tarik pelaburan industri teknologi tinggi juga tipu. Sebabnya Lynas dah awal-awal tandatangan kontrak bekalan selama 20 tahun dengan pelangan-pelanggan antarabangsa. Kerajaan juga cakap Lynas akan bolehkan berlakunya pemindahan teknologi. Apa maksudnya sedangkan Lynas cuma syarikat perlombongan yang tiada teknologi dalam memproses nadir bumi pun.

Sebanyak 80 peratus bahan yang diproses itu, hasilnya dijual kepada luar negara. Yang 20 peratus itu, adakah dijual dengan harga rendah kepada industri di negara ini?

Tapi di Malaysia kita belum ada industri yang perlukan hasil itu. Kalau Malaysia ada pun, adakah kita dapat diskaun? Tidak. Harga yang sama dengan yang dijual di luar negara.

Jadi, Malaysia langsung tidak dapat apa-apa keuntungan daripada operasi kilang Lynas melainkan hanya jadi tapak sampah negara asing. Apa yang rakyat dapat nanti malapetaka dahsyat dengan sebanyak 64,000 tan sisa buangan radioaktif dihasilkan setahun.

Di Australia, jarak 30 kilometer dari tapak kilang mesti tidak ada penempatan tetapi di Kuantan, dalam jarak yang sama ada 700,000 penduduk. Kampung-kampung nelayan sahaja ada bersebelahan kilang itu.

Akhirnya, harapan saudara dengan kempen sejuta tandatangan ini?

Kalau rakyat mahu jumpa Agong untuk serahkan sejuta tandatangan ini pun tidak boleh, itu memang tidak patut. Cukup sejuta dalam tempoh 100 hari ini, kita akan tetap serahkan tandatangan itu walau apa cara sekalipun. Kita sudah tekad. Keputusan kita jelas dan muktamad. Lawan sampai kilang Lynas yang bakal memusnahkan tanahair ini ditutup sebelum generasi kita musnah dengan kesan radioaktif

Tiada ulasan: