Jumaat, 6 September 2013

Nilai RM jatuh, harga minyak naik, rakyat makin miskin


ron95

SHAH ALAM : Kejatuhan nilai mata wang Ringgit Malaysia menyebabkan rakyat semakin miskin berikutan kuasa beli menurun ekoran kenaikan harga barangan diimport khususnya makanan.

Ahli Ekonomi Institut Rakyat, Azrul Azwar Ahmad Tajuddin berkata, suasana ekonomi itu berlaku apabila nilai mata wang negara mengecil berbanding mata wang asing sekali gus kemampuan rakyat berbelanja terjejas.

“Rakyat mengalami masalah untuk mendapatkan barang pada harga sama sebelum kejatuhan nilai mata wang negara

“Ini menyebabkan kemampuan rakyat membeli barangan itu semakin merosot, ” kata bekas Ketua Ekonomi Bank Islam itu kepada TV Selangor, hari ini.

Nilai ringgit jatuh melebihi tujuh peratus tahun ini, paling rendah berbanding tiga tahun lalu kepada 3.3 setiap Dollar dan ia merupakan rekod terburuk.

Kesan kenaikan harga barangan bertambah parah apabila kerajaan Umno BN  bertindak menaikkan harga minyak RON 95 dan RON 97 baru-baru ini.

Azrul berkata, penurunan nilai mata wang itu juga menyebabkan barangan import seperti barangan keperluan rakyat turut mengalami peningkatan harga.

Katanya, kerajaan digesa membuat penilaian dan mencari penyebab kepada punca kejatuhan nilai mata wang dan bertindak proaktif menangani masalah itu.

“Kerajaan perlu menumpukan usaha menangani ketirisan bagi mengelakkan pertambahan hutang negara dan defisit perbelanjaan,” katanya.

Tiada ulasan: