TOK BALI - Kerja-kerja mengangkut bijih besi dan pembinaan pelabuhan di sini didakwa sebagai faktor penyebab pendapatan kira-kira 60 nelayan tradisional yang menangkap ikan dalam lingkungan lima batu nautika terjejas teruk.

Wakil nelayan, Mohd Rozi Mat, 32 berkata, selain jumlah ikan berkurangan, bunyi bising akibat pembinaan pelabuhan dan pemunggahan bijih besi menggunakan tongkang ke kapal induk, nelayan turut mengalami kerugian apabila banyak pukat mereka rosak.

"Sekarang ini nelayan tidak tahu di kawasan mana mereka boleh menangkap ikan dan kawasan mana tidak boleh kerana kedudukan penanda Batas Pelabuhan Tok Bali mengelirukan.

"Syarikat terbabit perlu bayar pampasan kepada nelayan dan untuk cari jalan penyelesaian, kami minta pihak berkenaan adakan perjumpaan dengan nelayan," katanya.

Seorang nelayan, Zulkifli Abdullah, 49 memaklumkan telah membuat laporan polis pada April lalu mengenai kejadian sembilan daripada 12 pukat miliknya rosak dipercayai kerana dilanggar kapal pengangkut bijih timah.

Katanya, laporan turut dibuat kepada syarikat terbabit namun ganti rugi tidak dibayar atas alasan tiada bukti kukuh.

Sementara itu, seorang lagi nelayan, Mohd Nor Hassan, 54 menjelaskan, masalah berkenaan telah berlarutan sejak dua tahun lalu apabila kerja-kerja mengangkut bijih besi terus dilakukan walaupun pelabuhan dalam pembinaan.

"Biasanya kita letak pukat dan tinggal di situ untuk tiga hari. Bila turun semula ke laut, kita dapati banyak pukat koyak akibat dirempuh tongkang dan terkena sauh yang dilabuhkan kapal induk," dakwanya.

Manakala rakannya, Abdul Manaf Awang, 60 berkata, nelayan-nelayan tradisional tidak menolak pembangunan kerana ia bakal menyediakan peluang pekerjaan.

"Pembangunan itu tidak bermakna apabila nelayan pantai terus dihimpit masalah. Nelayan di sini lebih teraniaya berbanding negeri lain dan patut menerima pampasan.

"Hanya segelintir nelayan dapat pampasan, iaitu mereka yang kenal 'orang dalam' di pelabuhan syarikat itu. Agak malang bagi kami yang tidak kenal sesiapa sebab tuntutan kami langsung tidak diberi perhatian," katanya.