Rabu, 4 September 2013

Negara tetap rugi walaupun subsidi bahan api dikurang

Ariff Sabri 2

RAUB: Kekalutan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pengurangan subsidi harga bahan api RON95 dan diesel dan kononnya akan diimbangkan dengan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) tidak bermakna akan mengurangkan defisit negara.

Ini kerana, jika kerajaan memberi bantuan itu RM1,500 seperti janji mereka kepada tiga juta penerima, ia bermakna kerajaan terpaksa mengeluar sebanyak RM4.5 bilion.

 ariffsabri

Ahli Parlimen DAP Raub, Datuk Mohd Arif Sabri Abdul Aziz mempertikai langkah sumbang kerajaan mengumumkan pengurangan subsidi kerajaan terhadap bahan api yang membebankan rakyat.

“Apa yang akan berlaku ialah kerajaan akan rugi berbanding melakukan penjimatan jika BR1M diberi untuk pusingan akan datang. Kita juga tidak pasti adakah kerajaan benar-benar tahu apa sebenarnya yang mereka lakukan,” kata beliau ketika dihubungi.

Mengulas lanjut, Mohd Arif berkata, walaupun bantuan BR1M sebanyak RM1,500 yang dikeluarkan mungkin akan membantu meringankan sedikit beban rakyat menanggung kenaikan kos bahan api, bagaimana pula dengan mereka yang tidak menerimanya.

“Ini memang tidak adil. Kita sendiri tahu kenaikan harga minyak akan menyebabkan barang keperluan lain turut meningkat walaupun kerajaan arah peniaga tidak menaikkan harga. Rasional Najib memberi BR1M konon mahu imbangkan kenaikan harga minyak adalah terlalu dangkal. Kita tidak boleh terima,” jelasnya.

Kenaikan harga bahan api RON95 adalah kenaikan kali ketiga sejak Najib menjadi Perdana Menteri dan merupakan kenaikan terbesar berbanding kenaikan sebelum ini iaitu sebanyak lima sen pada Julai dan Disember 2010 manakala bagi diesel pula, ia merupakan kenaikan kali keempat.

Ramai pihak berpandangan pengurangan subsidi bahan api menyebabkan rakyat terpaksa menanggung beban kerana kegagalan kerajaan menguruskan perbelanjaan negara dengan berhemah.-Roketkini.com

Tiada ulasan: