Sabtu, 21 September 2013

'Najib silap, Chin Peng pernah memohon untuk pulang'


 


 

Bercanggah dengan dakwaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak, bekas rakan Chin Peng dan ahli keluarganya menegaskan bahawa bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) itu telah memohon untuk pulang selepas Perjanjian Damai Hatyai pada 1989.

"Peguam memohon tiga dokumen daripada Kementerian Dalam Negeri apabila Chin Peng pertamakali memfailkan kes (untuk pulang) di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang.

"Yang pertama ialah senarai yang disediakan oleh PKM mengenai
mereka yang telah memohon untuk pulang (ke Malaysia), senarai kedua ialah mereka yang ditolak oleh kerajaan dan ketiga, senarai yang diluluskan .
                                  
"Nama Chin Peng ada dalam dokumen pertama, membuktikan dia telah memohon," kata rakannya itu, Nan Jin kepada media di Bangkok hari ini.

Anak saudara Chin Peng , Lee Chung, berkata sebuah berita pada tahun 1991 juga memetik ketua polis negara ketika itu, Tan Sri Haniff Omar sebagai berkata bahawa bapa saudaranya itu telah memohon pada akhir tempoh satu tahun yang ditetapkan untuk berbuat demikian.
              
Lee juga menegaskan bahawa ketua Cawangan Khas, Zulkifli Abdul Rahman dipetik pada tahun yang sama sebagai mendakwa bahawa permohonan Chin Peng sedang diproses.

"Jadi apa yang (Perdana Menteri) Datuk Seri Najib Tun Razak kata, adalah tidak benar kerana secara logiknya, kenyataan-kenyataan pada 1991 itu menunjukkan permohonan telah dibuat," katanya.

Najib berkata abu Chin Peng - atau nama sebenarnya Ong Boon Hua - tidak akan dibenarkan dibawa balik ke Malaysia kerana dia tidak memohon dalam tempoh satu tahun selepas Perjanjian Damai itu dan keluarganya boleh menyaman kerajaan jika tidak bersetuju.

NONEChin Peng kalah kesnya pada tahun 2008 apabila tidak dapat
mengemukakan dokumen pengenalan kepada Mahkamah Rayuan untuk membuktikan kerakyataannya.

Sementara itu, Lee Suvit - saudara lelaki Lee Chung - berkata keluarganya akan "melakukan yang terbaik " untuk memenuhi hasrat Chin Peng supaya abunya dibawa pulang ke kampung halamannya di Sitiawan, Perak.

"Kami akan cuba untuk membawanya pulang dengan bermaruah," kata Suvit, yang kakaknya telah menjaga Chin Peng sehingga dia meninggal dunia akibat kanser pada 16 September lalu.

Tiada ulasan: