Rabu, 18 September 2013

MP dedah 'pengundi hantu' PRU13

Harakahdaily,  


 
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago hari ini mengemukakan aduan berhubung 60 pengundi didaftarkan pada satu alamat di kawasan Parlimen Klang pada Pilihan Raya Umum ke -13 (PRU13) lepas.

Beliau mendedahkan perkara itu sewaktu memberi keterangan sebagai saksi pertama prosiding Tribunal Rakyat, sebuah inisiatif Gabungan Pilihan Raya Bebas & Adil (Bersih 2.0) yang mula bersidang hari ini, lapor Selangorku.

Dalam keterangannya beliau turut mendakwa, aduan telah dibuat kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) namun mereka menyatakan nama pengundi ragu itu sudah digazetkan dan tidak boleh dikeluarkan.

Selain itu, beliau turut mendedahkan terdapat pekerja asing yang dibayar oleh pihak tertentu bagi mengundi pada PRU lepas.

Ianya termasuk insiden orang ramai di Pandamaran yang menahan bas dipercayai menjadi pengundi hantu pada 5 Mei lepas.

Sementara itu, Tribunal Rakyat akan menjalankan prosiding selama lima hari bermula hari ini sehingga 22 September ini.

Bertempat di Throne Room, Hotel Empire, Subang Jaya, prosideng akan bemula dari jam 9 pagi hingga 5 petang setiap hari.

Enam individu ternama yang berkelayakan menganggotai tribunal ini, tiga dari luar negara dan tiga dari Malaysia.

Tribunal ini akan menerima, meneliti dan menyiasat laporan orang ramai berhubung isu berkait PRU13 lalu sebelum mengeluarkan laporan kepada umum.

Tiga individu dari luar negara yang terlibat termasuk bekas Wakil Khas Setiausaha Agung PBB di Kemboja, Yash Pal Gai, bekas Timbalan Pengerusi SPR Indonesia, Ramlan Surbakti dan bekas Presiden ASEAN Inter-Parliamentary Myanmar Caucus (AIPMC), Kraisak Choonhavan.

Tiada ulasan: