SHAH ALAM – Pas menggesa kerajaan supaya menghentikan penipuan terhadap rakyat berhubung isu kenaikan harga bahan api RON95 dan diesel sebanyak 20 sen seliter hanya akan menyebabkan harga makanan meningkat 0.1 peratus.

Ketua Penerangan Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kenyataan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Hasan Malek semalam sangat mengelirukan rakyat yang hanya bergantung kepada kajian kementerian itu semata-mata tanpa melihat implikasi pelaksanaannya.

“Jika teh tarik berharga RM1.20, apakah kini harga barunya ialah RM1.2012? Bagaimana penjaja nak kenakan harga itu? Jika penjaja naikkan harga sebanyak 10 sen, peratusan itu pun sudah mencapai 8.3 peratus.

“Bagi secawan teh tarik, daun teh, gula dan susunya semua terlibat kos pengangkutan. Maka secara langsung, harga secawan teh tarik akan naik harga, dan harga lebihan itu akan ditanggung pengguna.

“Pas melihat seruan kerajaan untuk para peniaga tidak menaikkan harga sebagai satu yang membinggungkan. Kalau kerajaan tidak mahu peniaga menaikkan harga barangan, elok kerajaan jangan menaikkan harga minyak kerana peningkatan kos akhirnya terpaksa ditanggung oleh rakyat,” katanya yang dipetik daripada kenyataan medianya, hari ini.

Hasan semalam memberi jaminan kenaikan RON95 dan diesel sebanyak 20 sen seliter hanya akan memberi kesan minimum kepada peniaga yang dianggarkan hanya sebanyak 0.1 peratus.

Beliau turut memberi amaran kepada semua peniaga supaya tidak menaikkan harga barangan sesuka hati kerana kenaikan harga minyak sebanyak 20 sen tidak meletakkan mereka dalam keadaan terdesak untuk berbuat demikian.

"Bagi memastikan tidak ada peniaga yang mengambil kesempatan dalam keadaan sekarang, seramai 1,845 anggota penguat kuasa dan 1,071 pegawai pemantau telah mula dikerah.

"Mana-mana peniaga yang ingkar dan berdegil, kita akan hukum mereka dengan segala akta dan undang-undang sedia ada seperti Akta Kawalan dan Anti Pencatutan 2010 supaya tidak ada pihak yang berani menaikkan harga sesuka hati,” katanya.