Selasa, 17 September 2013

Menteri: 'Felo Fatwa' jawab soalan di FB, Twitter

 
 


 
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan menubuhkan sebuah unit dikenali sebagai 'Felo Fatwa' yang dianggotai ulama-ulama yang mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang bagi menjawab dan menjelaskan isu-isu semasa berkaitan Islam menerusi media baharu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata anggota Felo Fatwa itu akan dilantik oleh Jakim dan Majlis Fatwa Kebangsaan.

Unit itu akan turut dianggotai beberapa orang pakar teknologi maklumat bagi menguruskan media baharu itu, katanya.

Jamil Khir bagaimanapun berkata tarikh penubuhannya belum ditetapkan.

"Platform yang akan digunakan oleh Felo Fatwa ialah laman web rasmi Jakim, Facebook, Twitter, Blog dan pelbagai medium lain," katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Konvokesyen Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) kali kedua di Bangi, dekat Putrajaya hari ini.

Seramai 146 graduan menerima diploma dan sijil masing-masing di majlis itu – 91 bagi kursus Diploma Pengurusan Islam (DPI) Siri I, II dan III, 16 (kursus Sijil Tinggi Muamalat); 26 (Kursus Sijil Tinggi Pengurusan Sains Dakwah); dan 13 (Sijil Tafaqquh Fi ad-Din).

Kursus DPI merupakan kursus mandatori jangka panjang selama enam bulan yang dirangka khusus untuk memberi penekanan dalam pembentukan sahsiah, sikap serta semangat berpasukan dalam kalangan Pegawai Hal Ehwal Islam.

Ia wajib diikuti semua pegawai Gred S41 Jakim yang baru dilantik. - Bernama

Tiada ulasan: