Shahbudin Husin
Kenaikan
harga minyak yang diumumkan Najib menimbulkan keributan yang bukan
sedikit rupanya. Tidak saja rakyat biasa yang mengeluh dan meluahkan
kemarahan, kalangan ahli dan pemimpin Umno juga mempunyai rasa yang
senada. Mereka turut kecewa dengan kenaikan itu, bukan saja kerana
tiada angin atau ribut yang mengatakan harga minyak dunia meningkat
tetapi juga kerana kenaikan itu diumumkan begitu pantas iaitu hanya
kira-kira lebih sedikit daripada 100 hari selepas kemenangan tipis yang
diraih BN dalam pilihan raya umum lalu.
Ditambah
pula, dengan kemeriahan sambutan Hari Raya yang masih terasa dengan
Perdana Menteri dan semua menteri kabinet dilihat begitu bergembira
dengan pesta rumah terbuka berserta jamuan yang hebat di sana-sini
dengan menggunakan wang rakyat, tiba-tiba rakyat mahu dibebankan pula
dengan kenaikan harga minyak yang tentunya juga akan diiringi dengan
pelbagai kenaikan lainnya dalam perkhidmatan dan barangan pengguna.
Oleh
kerana tahun ini tahun pemilihan Umno, gah dan meriahnya majlis rumah
terbuka menteri lebih jelas dapat dirasakan, terutama mereka yang mahu
bertanding jawatan lebih tinggi atau mempertahankan jawatan sedia ada.
Sudahlah ada rumah terbuka Perdana Menteri bersama menteri kabinet, ada
pula rumah terbuka kementerian, kemudian semua agensi pula turut
mengadakan rumah terbuka. Di kawasan Parlimen juga, menteri dan timbalan
menteri mengadakan rumah terbuka.
Habisnya,
sebulan Syawal ini jadual menteri dan timbalan menteri hanya asyik
dengan rumah terbuka saja. Oleh kerana tahun pemilihan juga dan bimbang
undi berkurangan, menteri turut mengambil kesempatan hadir ke rumah
terbuka kementerian lainnya.
Tentu
terlihat tidak sopan, setelah pemimpin berpesta dan menghabiskan duit
rakyat manakala rakyat hanya dapat menatapnya melalui tv dan akhbar,
tiba-tiba bebannya mahu dilonggokkan ke bahu rakyat.
Bagi
sesetengah pihak, ini diskriminasi dan penindasan yang tiada tolok
bandingnya. Jika diambil kira dengan pelbagai kemewahan dan
perbelanjaan lainnya yang dilakukan pemimpin, termasuk kos lawatan Najib
ke luar negara hampir RM50 juta, keghairahan kerajaan menukar jenama
baru untuk kereta rasmi menteri dan sebagainya, kerajaan dilihat
seolah-olah tidak punya perasaan langsung apabila menaikkan harga minyak
ini.
Pada masa
sama, kenaikan harga minyak itu juga dilakukan di tengah-tengah
kebanggaan yang diumumkan bahawa Petronas pada 2012 mencatat keuntungan
sebanyak RM59 bilion manakala keuntungan pada suku kedua 2013 ini pula
mencecah angka RM21.9 bilion.
Dengan
keuntungan sebesar itu, Najib terlihat begitu kemaruk dengan penjimatan
RM1.1 bilion melalui kenaikan harga harga minyak dan memotong subsidi
rakyat yang mana sebahagian besarnya penerima nikmat subsidi ini adalah
orang kampung dan luar bandar yang selama ini penyokong tegar Umno
serta penyumbang utama kepada kemenangan BN dalam pilihan raya lalu.
Apakah
RM1.1 bilion itu tidak boleh ditampung melalui sumber lain dan lebih
besar nilainya daripada menghimpit kehidupan rakyat ke kancah yang
lebih sukar?
Sebaik
menang piliharaya, Najib seperti sudah lupa siapa yang menyokong dan
menjadikannya kekal sebagai Perdana Menteri. Lalu, dengan pelbagai
keluhan dan sungutan mengenai kenaikan harga minyak ini, di manakah
slogan “Kami mendengar” dan kerajaan sentiasa bersama denyut nadi rakyat
yang sering dilaungkan selama ini?
Sebab itu,
tidak hairan kenaikan harga minyak kali ini turut mendapat reaksi yang
tidak menyenangkan daripada pemimpin Umno sendiri. Sementara ramai
yang berdiam diri kerana tidak bersetuju tetapi tidak mahu meluahkan
perasaan secara terang-terangan kerana bimbang periuk nasi terjejas,
terdapat juga yang berani berterus-terang.
Seorang
pemimpin pemuda, Lokman Nor Adam mahu Najib dan kerajaan memikirkan
semula kenaikan harga minyak ini dan mencari kaedah lain untuk
menampung kos RM1.1 bilion yang diperlukan untuk meneruskan subsidi
minyak yang dikurangkan itu.
Di
pelbagai peringkat lainnya, ramai lagi pemimpin dan ahli Umno yang
turut kecewa dengan tindakan Najib ini. Mereka meluahkan kekecewaan
dengan cara tersendiri. Ada yang meluahkannya melalui perbualan dengan
kawan atau ketika sambil berbual-bual di kedai kopi.
Seorang
pemimpin Umno yang ditemui jelas kecewa dengan tindakan Najib ini.
Beliau kecewa bukan saja kerana tindakan ini dilihat menyusahkan rakyat
tetapi juga membuat pemimpin sepertinya menghadapi kesukaran untuk
mempertahankan keputusan Najib itu apabila dipersoalkan pengikut serta
penyokongnya.
Penyokong
dan pengikutnya yang rata-rata berpendpaatan rendah dan sederhana jelas
begitu terpukul dengan kenaikan minyak ini kerana selama ini pun
kehidupannya seharian mereka sekadar cukup makan sebagai kakitangan
kerajaan mahupun swasta.
Lebih
menggusarkan pemimpin tadi ialah apabila anaknya juga turut marah,
kecewa dan tidak setuju dengan kenaikan harga minyak yang diumumkan
Najib ini. Menurutnya, apabila anaknya yang belajar di universiti turut
mempertikaikan tindakan Najib berserta dengan fakta, angka dan
rasionalnya, beliau menghadapi masalah dan tidak upaya berbuat apa-apa
kerana pendapat golongan muda seperti anaknya itu banyak kebenarannya.
Mahu
mempertahankan kerajaan serba-salah, tidak mempertahankan kerajaan pun
serba-salah juga. Kita sebagai pemimpin Umno pun susah dibuatnya dengan
tindakan Najib ini, rungutnya lagi.
Dengan
kecenderungan Najib berbelanja mewah dan boros serta kemungkinan akan
mengenakan beberapa lagi kenaikan seperti tarif letrik, pengenalan
cukai GST dan sebagainya sebagai langkah mudah menyeimbangkan kedudukan
ekonomi negara, beliau juga percaya kehidupan rakyat akan terus sulit
dalam tempoh empat atau lima tahun akan datang.
Sehubungan
itu, tambahnya, mengekalkan lagi Najib sebagai Perdana Menteri hanya
seperti menambah dosa saja kerana kehidupan rakyat yang sudah sedia
terbeban dipercayai akan terus terbeban selagi beliau kekal di
tempatnya sekarang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan