Ahad, 15 September 2013

Melayu dikatakan selera rendah selepas kutipan Tanda Putera gagal

OLEH HASBULLAH AWANG CHIK


















Kolumnis Utusan Malaysia, Siti Jarum mempersoalkan tindakan Perbadanan Kemajuan Filem Malaysia (Finas) apabila filem Tanda Putera yang ditayangkan sejak 28 Ogos lalu hingga semalam hanya mendapat kutipan kira-kira RM1 juta.

Beliau tidak merasakan Finas ada jawapan bagi kemelut tersebut selain hanya menggalakkan penerbit membuat filem yang disukai penonton.

“Siti tak setuju ada pihak berkata jangan salahkan Finas apabila filem tidak mendapat sambutan kerana agensi itu ditubuhkan untuk memajukan industri filem. Pada definisi Siti, memajukan bukan sahaja membesarkan saiz industri tetapi meningkatkan kutipan dan menambah jumlah penonton.

 “Finas hanya gelisah apabila kutipan filem tahun ini hanya RM36.43 juta berbanding tahun lalu RM97.29 juta dan tahun 2011 sebanyak RM126.49 juta. Tetapi Finas tak gelisah apabila penonton tidak menonton filem yang bercitra tinggi.

“Untuk pengetahuan Finas, penonton kita terutama Melayu tidak maju. Penonton Melayu sangat mundur, mereka berselera rendah dan murah. Penonton begini sampai bila pun tidak akan memajukan industri filem dalam erti kata sebenar,” katanya di akhbar Utusan Malaysia edisi Ahad, Mingguan Malaysia.

Kolumnis itu juga mengatakan beliau muak apabila Finas selalu membentangkan pencapaian kecemerlangan mereka apabila berjaya meningkatkan kutipan filem Melayu kerana menurutnya bukan pencapaian ini yang dimahukan untuk memajukan bangsa.

Katanya, sepanjang lebih tiga dekad usia Finas, beliau tidak lihat usaha untuk meningkatkan kemajuan penonton sambil mendakwa Finas tidak berasa bersalah apabila filem yang memundurkan minda Melayu mendapat kutipan pecah panggung jutaan ringgit.

“Kalau Siti sebagai orang yang berkuasa di Finas, sudah tentu Siti akan hantuk kepada di dinding kerana gagal memajukan penonton. Adakah Finas akan terus bergembira dan berbangga apabila filem yang memundurkan minda Melayu terus mendapat sambutan manakala filem yang ‘dijentik’ pula dipinggirkan oleh penonton?

“Finas tidak boleh berbangga sekadar mengeluarkan berjuta-juta ringgit untuk menghasilkan filem kenegaraan kalau tidak membina penonton. Tanda Putera adalah filem mesti tonton oleh sekalian umat Melayu. Sebabnya sebahagian besar orang Cina (sudah semestinya yang menyokong DAP) tidak akan menonton filem ini.

"Statistik menunjukkan selama ini pun bukan Melayu tidak menonton filem Melayu. Biarkan mereka kerana jumlah penonton Melayu sahaja pun boleh membangunkan industri filem. Tapi kenalah penonton yang berkualiti,” katanya.

Katanya, disebabkan selera yang rendah, penonton Melayu tidak patriotik untuk mendekatkan diri dengan karya filem yang bercakap tentang negara dan bangsa.

“Mereka hanya terpasung dengan filem yang menjauhkan mereka daripada memikirkan realiti orang Melayu hari ini. Filem ini sama ada dibuat oleh orang Melayu atau bukan Melayu adalah tergolong dari kalangan tidak patriotik. Sebabnya filem mereka tidak menyumbang kepada pembinaan bangsa, malah merosakkan bangsa. Tetapi mereka buat juga kerana rasukan duit yang dikaut dari kantung penonton bercitra rendah.

“Siti fikir Finas kena membuat sesuatu supaya saiz industri filem yang semakin besar dari sudut statistiknya dapat diimbangkan dengan kualiti penonton. Siti melihat sebahagian besar penonton Cina menyokong filem Cina tempatan. Filem arahan Namawee yang menghina Melayu, Kara King misalnya mendapat sambutan baik. Begitu juga filem Cina yang mengagungkan komunis, The New Village, sambutannya hebat juga. Tetapi filem Tanda Putera orang Melayu sendiri tak banyak menontonnya.

“Kalau tak kuat semangat, penerbit seperti Datin Paduka Shuhaimi Baba akan mengalah dan gulung tikar.

Yang tinggal hanya penerbit filem untuk memundurkan minda Melayu. Memang benarlah penerbit begini yang menyara hidup artis, pekerja produksi dan tauke panggung. Tetapi apalah ertinya kalau wawasan mencerdikkan orang Melayu dikorbankan untuk kepentingan kumpulan minoriti tadi,” katanya

Tiada ulasan: