Maznah Mazlan
KUALA LUMPUR - Exco Wanita Umno, Senator Datuk Maznah Mazlan hari ini membuat kejutan apabila menyerahkan borang pencalonan bagi merebut jawatan Ketua Wanita kira-kira setengah jam sebelum proses penyerahan borang ditutup 5 petang.
Borang pencalonannya diserahkan wakilnya Mohamad Baba di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.
Ini menjadikan jumlah keseluruhan yang bakal bertanding jawatan utama pergerakan itu ialah tiga orang termasuk Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang mempertahankannya dan anggota seumur hidup Umno, Raihan Sulaiman Palestin.
Maznah yang juga Adun Muadzam Shah merupakan bekas Timbalan Menteri Sumber Manusia.
Jawatan naib ketua pula menjadi pertaruhan antara Exco Wanita yang juga Adun Sungai Tiang, Datuk Suraya Yaacob, Ketua Penerangan Wanita Umno, Datuk Hamidah Osman dan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Azizah Mohd Dun.
Jawatan itu kosong apabila penyandangnya, Datuk Kamilia Ibrahim bertindak keluar parti dan melepaskan semua jawatannya di dalam parti setelah bertanding sebagai calon Bebas pada PRU13 Mei lepas.
Bagi jawatan Exco Pergerakan Wanita yang hanya menempatkan 20 jawatan, sebanyak 44 anggota menyerahkan borang pencalonan yang kebanyakannya muka baru.
Sementara itu, Tan Sri Napsiah Omar mengekalkan jawatannya sebagai Pengerusi Tetap Wanita apabila menang tanpa bertanding manakala timbalannya, Datuk Saripah Aminah Syed Mohd dicabar oleh Datuk Mastika Junaidah Husin.
Terdahulu, Shahrizat yang tiba pada jam 8.15 pagi menjadi bakal calon pertama menyerahkan borang pencalonan di Bilik Kuala Lumpur, Aras 5 PWTC diiringi Penolong Setiausaha Wanita Datuk Rosni Sohar.
Bercakap kepada pemberita selepas menyerahkan borang pencalonannya, Shahrizat berkata, jika diberi kepercayaan untuk terus menerajui pergerakan itu, beliau akan berjuang berhabis-habisan untuk mengarusperdanakan isu wanita, keluarga dan masyarakat di persada yang lebih tinggi.
"Kalau saya diberi kepercayaan oleh Wanita Umno, saya akan berjuang untuk wanita Malaysia berbilang-bilang kaum supaya akan ada kesaksamaan gender di negara ini terutamanya dalam bidang politik," katanya.
Shahrizat juga berharap anggota-anggota perwakilan memberi kepercayaan dengan tidak mengetepikan calon-calon Wanita kerana jika suara wanita ketinggalan, sesuatu keputusan yang dibuat pasti tidak sempurna.
Suraya pula berkata, beliau ingin mendekati golongan wanita bekerjaya, usahawan dan yang tinggal di bandar dan tidak hanya menumpukan kepada program kebajikan semata-mata.
"Ruangnya begitu luas untuk proses engagement ini, saya juga berharap agar perwakilan membuat keputusan yang bijak dalam memilih pemimpin khususnya dalam menghadapi PRU14," katanya.
Hamidah yang membuat keputusan di saat akhir untuk bertanding jawatan Naib Ketua berkata, beliau terpanggil menawarkan diri bertanding kerana ingin menjulang perjuangan parti ke tahap lebih tinggi.
Sementara itu, bagi muka-muka baharu yang menyerahkan borang pencalonan untuk bertanding jawatan Exco Wanita Pusat buat pertama kalinya mengakui gementar tetapi dalam masa yang sama teruja untuk bertanding menerusi kaedah pemilihan baru yang lebih terbuka.
Ketua Wanita Umno Bahagian Tanjong Karang, Datuk Habibah Mohd Yusof, 43, berkata, beliau memberanikan diri bertanding kerana memikirkan perlunya gandingan di antara orang lama berpengalaman dan orang baru bagi memastikan pergerakan itu semakin mantap.
Ketua Wanita Umno Bahagian Batu, Norashekin Yusof, 45, berkata, proses pemilihan baharu ini membuktikan bahawa Umno tidak pernah menyekat hasrat orang muda tetapi memberi peluang seluas-luasnya untuk sama-sama berkhidmat dan menawarkan diri bertanding.
Ketua Wanita Umno Cawangan Jalan Sulaiman, Bukit Bintang, Zaini Zainudin, 47, yang juga seorang saintis alam sekitar berkata, beliau ingin membawa suara anggota akar umbi ke peringkat tertinggi parti agar diberi perhatian khusus. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan