KUALA LUMPUR - PR hari ini menggesa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) mengesahkan status aktiviti perobohan yang sedang berlaku di Masjid Ar Rahman, Universiti Malaya.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata, Jawi perlu memaparkan notis pemberitahuan tentang aktiviti yang sedang dijalankan di masjid tersebut.

"Kami dimaklumkan bahawa projek pengubahsuaian yang bakal dilaksanakan oleh pihak Jawi di masjid itu melibatkan perobohan bangunan asal dan penutupan operasi masjid, sama ada tempat ibadah atau program lain.

"Jadi kami perlukan penjelasan daripada Jawi," katanya di ibu pejabat Jawi, di sini, hari ini.

Menurut Khalid, tidak ada sebarang notis ditampal menyebabkan masyarakat di situ keliru dengan status masjid berkenaan.

Dalam pada itu, Khalid juga memberi dua tarikh untuk diadakan perbincangan dan mendapatkan penjelasan daripada Jawi.

"Kita bagi tarikh cadangan, sama ada pada 11 September atau 13 September," katanya lagi.

Mengulas lanjut, Khalid yang juga Timbalan Pesuruhjaya Pas Selangor berkata, perbincangan itu dituntut bagi mengelak pelbagai spekulasi terhadap perkara itu berterusan.

"Perkara ini memang telah lama diperkatakan, ramai ahli qariah masjid itu membuat aduan tetapi pihak Jawi tidak memberi respon.

"Jadi kita bangkitkan kembali perkara ini kerana masjid ini dikatakan akan dirobohkan pada 14 September ini, tanpa sebarang notis," katanya lagi.

Masjid Ar Rahman telah dibina sejak 1963 dan di antara masjid tertua di Malaysia.