PUTRAJAYA - Kementerian Dalam Negeri (KDN) meminta mana-mana majikan yang masih tidak mendaftarkan pekerja asing mereka supaya berbuat demikian ekoran ada dalam kalangan mereka yang ditipu oleh ejen pekerjaan.
  
Menteri berkenaan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata terdapat majikan yang telah membayar antara RM3,000 hingga RM5,000 kepada ejen untuk proses 6P pekerja asing sebelum ini namun ejen tidak melaksanakannya.
  
"Mereka telah membayar kepada ejen pekerja asing namun tidak diberikan sebarang dokumen," katanya dalam sidang media selepas Majlis Seminar Khas Kesejahteraan Keluarga KDN bersama pengarang buku 'La Tahzan' di sini hari ini.
  
Beliau berkata ini juga untuk memberi keadilan kepada majikan dan ejen sepatutnya bertanggungjawab dalam hal ini.
  
Bermula Ahad lepas, Jabatan Imigresen bersama pelbagai agensi telah menggempur pendatang tanpa izin (Pati) dalam operasi besar-besaran di seluruh negara dengan menyasarkan beberapa kawasan tumpuan termasuk pembinaan dan komersial.

Ahmad Zahid berkata sehingga kini lebih 5,000 Pati berjaya ditangkap dan sebelum ini beliau berjanji operasi Ops Bersepadu 6P ini akan diteruskan sehingga tangkapan menujukkan angka sifar.
  
Dalam perkembangan lain, beliau merancang menaik taraf kebajikan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) antaranya mewujudkan sebuah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang menerapkan dua aspek iaitu akademik serta hafalan Al-Quran khas untuk anak-anak anggota polis.
  
"Kami juga akan mencari alternatif untuk meningkatkan daripada empat peratus dividen pelaburan dalam koperasi polis.
  
"Saya juga ada turun ke beberapa balai polis, Ibu Pejabat Daerah dan Ibu Pejabat Kontinjen Negeri dan dilihat banyak yang perlu dinaik taraf selain kuarters anggota," katanya.
  
Sebagai langkah pencegahan jenayah, beliau berkata, PDRM akan bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Tempatan untuk memasang Kamera Litar Tertutup (CCTV) yang berdefinisi tinggi di kawasan-kawasan tumpuan jenayah. - Bernama