KUALA LUMPUR - Setiausaha Bahagian Analisis Data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan pengurus operasi sebuah syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini terhadap tuduhan menerima rasuah RM80,000 daripada seorang ahli perniagaan, pada Oktober tahun lalu.

Pengakuan Muhammad Firdaus Mohd Ramli, 34 dan Fizal Kamarudin @ Fauzi, 33, direkodkan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Muhammad Firdaus dan Fizal didakwa dengan niat bersama telah menerima wang sogokan RM80,000 daripada Mohd Noor Mokhid sebagai upah kerana kononnya membantu syarikat Southair Travel and Tours Services Sdn Bhd dilantik sebagai pembekal kenderaan bagi kegunaan pemerhati asing semasa PRU13 lalu oleh SPR.

Perbuatan tersebut dilakukan oleh mereka di Restoran Al- Rawsha, Jalan Kampung Pandan, Kuala Lumpur, jam 1 tengahari, pada 16 Oktober 2012.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan Akta 574 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 24 sama yang memperuntukan hukuman penjara 20 tahun dan denda lima kali ganda suapan.

Mahkamah juga membebaskan Muhammad Firdaus dan Fizal dengan ikat jamin RM10,000 setiap seorang.

Rozilah menetapkan 10 Julai depan sebutan semula kes.

Mahkamah turut dimaklumkan bahawa Fizal akan dituduh di Mahkamah Sesyen Shah Alam esok.